Lain kali, apabila anda mahu keluar dari bilik hotel, sesuatu yang perlu anda ingat ialah: Jangan sesekali melakukannya tanpa pakaian di badan.
Rakaman video seorang lelaki yang tersilap langkah itu kini muncul di YouTube dan menjadi tontonan ramai.
Melalui rakaman kamera litar tertutup berkenaan, lelaki tidak dikenali itu dilihat meletakkan dulang berisi sisa makanan di luar biliknya tanpa berpakaian.
Disebabkan terleka, pintu bilik hotel itu tertutup sendiri dan dia tidak memiliki kunci untuk membukanya. Dalam keadaan bogel, lelaki terbabit merayau ke sana-sini di sekitar hotel sambil cuba pergi ke kaunter penyambut tetamu.
Tanpa sesuatu untuk melindungi kemaluannya, dia cuma bergantung kepada dulang makanan yang menjadi punca masalahnya sementara dia berjalan mencari penyelamat.
Namun, sebelum sampai ke kaunter penyambut tetamu, lelaki terbabit terpaksa berdepan dengan ramai pelawat hotel berkenaan.
Seorang ibu dan anak lelakinya pula terpaksa berkongsi lif dengan lelaki terbabit dan reaksi mereka ternyata kurang menyenangkan.
Walaupun amat terdesak, lelaki malang itu masih terpaksa bersusah-payah mendapatkan bantuan daripada petugas di situ kerana mereka tetap mahukan dia menunjukkan kad pengenalan sebagai pengesahan sebelum kunci baru diberikan.
Sehingga semalam, rakaman video itu ditonton lebih 50,000 kali. Bagaimanapun, sebahagian besar penonton curiga terhadap kesahihan insiden itu dan yakin, ia dirancang lebih awal.[metro]