Penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin, 48, atau Aishah menyifatkan wujud
spekulasi pihak tertentu mengatakan dirinya bakal diletakkan sebagai
calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13)bagi Parlimen Jelebu, Negeri
Sembilan hanyalah andaian semata-mata.
Aishah berkata demikian selepas sumber memaklumkan penyanyi itu
adalah artis pertama negara yang bakal bergelar Yang Berhormat (YB)
berikutan akan diletakkan sebagai calon bertanding dalam PRU akan
datang.
Penyanyi terbabit yang juga ahli sebuah parti politik berkata, beliau menyedari perkara itu hangat diperkatakan tambahan pula tarikh menjelang pilihan raya semakin hampir.
“Setakat ini saya belum mendapat kepastian mengenai pencalonan itu
dan beranggapan ia hanyalah khabar angin. Lebih baik tunggu Parlimen
dibubarkan dulu, barulah boleh dapat kata putus,” katanya.
Menurut Aishah, dia tidak pernah mengharapkan bergelar calon sebaliknya menyedari timbulnya ‘cakap-cakap orang’ mengenai penamaan itu.
“Sebelum ini ramai yang bercakap mengenai perkara ini, tetapi tak tahulah, tunggu dan lihat saja,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Ditanya sama ada akan bertanding sekiranya diberi peluang, Aishah
berkata, dia perlu memikirkan sebaik-baiknya tambahan pula tanggungjawab
untuk memimpin adalah sesuatu yang sukar.
“Kalau ada peluang, saya kena fikir tindakan selanjutnya, kena solat istiqarah dan kena tahu sama ada masyarakat akan menerima atau sebaliknya,” katanya tidak mahu menganggap spekulasi itu sesuatu yang serius.
Sementara itu, Aishah yang dimasukkan ke Hospital Ampang Puteri
sejak tiga hari lalu akibat demam panas turut meminta rakan artis yang
`berhijrah’ tidak menghentam individu lain sebaliknya istiqamah dalam
menambah ilmu agama.[metro]