Anda sering menghadapi masalah kehabisan bateri telefon bimbit ketika saat-saat genting?Kini anda tidak perlu bimbang lagi kerana secawan kopi panas atau
sejuk sudah mampu menyelesaikan masalah anda yang sering kehabisan
bateri telefon bimbit.
Sebuah syarikat elektronik beribu pejabat di New Castle, Pennsylvania
di Amerika Syarikat, Epiphany Labs telah mencipta prototaip pengecas
yang kuasanya dijana menggunakan minuman panas atau sejuk untuk
memastikan bateri telefon sentiasa penuh.
Ciptaan yang dikenali sebagai The Epiphany One Puck mempunyai dua
bahagian berwarna merah untuk air panas dan biru bagi air sejuk.
Gajet tersebut menggunakan penjana yang dikenali sebagai Stirling
untuk menukarkan tenaga haba kepada tenaga elektrik yang kemudiannya
disambungkan kepada telefon bimbit melalui kabel USB.
Buat masa ini, firma Epiphany Labs masih menguji tempoh yang
diperlukan gajet itu untuk mengecas telefon bimbit berdasarkan tahap
kesejukan atau kepanasan sumber.
Pegawai Epiphany Labs, Tim Joseph berkata, pihaknya masih mengumpul
dana bagi merealisasikan projek tersebut untuk memasarkan gajet
berkenaan secara besar-besaran.
"Idea menggunakan penjana Stirling bukan perkara baharu, tetapi tiada
pihak yang berjaya menghasilkan gajet berguna yang dijual secara meluas
di pasaran.
"The Epiphany One Puck dijangka mula dijual pada awal tahun depan dengan harga AS$114 (RM351) seunit," katanya.[utusan]