Penyanyi rock Datuk Hattan atau Mohd. Shukri Sahabuddin, 49, akan
berkahwin semula dengan bekas isteri pertamanya, Arianie Mohd. Abidin,
Jun ini.
Hattan yang bercerai talak satu dengan Arianie pada Mac 2005
merancang untuk melangsungkan pernikahan tersebut serentak dengan
perkahwinan adik lelakinya, Achem.
Achem akan berkahwin pada Jun ini. Kalau dapat buat sekali pun bagus
juga. Saya cuma buat majlis kecil-kecilan untuk keluarga dan
kawan-kawan rapat sahaja," katanya semasa ditemui wartawan selepas
tayangan rakaman Led Zeppelin 2007 Celebration Day di Petaling Jaya di
sini semalam.
Pasangan tersebut pernah berkahwin pada 17 Disember 1996 sebelum
bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya dan hasil
daripada perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki Adam
Eiman, 14.
Jelasnya, dia merancang menikahi semula Arianie kerana perasaan
sayang yang mendalam selepas bermuhasabah diri atas kesilapannya yang
lalu itu.
Saya ambil keputusan itu selepas saya banyak bermuhasabah diri dan
membuang ego. Arianie berat hati untuk menerima saya semula tetapi saya
yakinkan dia bahawa saya sudah ubah kesilapan yang lepas," komennya.
Hattan yang berasal dari Seri Menanti, Negeri Sembilan pernah
berkahwin kali kedua dengan Noorfarashikin Othman pada 11 November 2011
tetapi berpisah dua bulan kemudian.[utusan]