Parti prokerajaan di Azerbaijan menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang
dapat memotong telinga seorang penulis terkenal, Akram Aylisli, 76,
yang dikatakan menghina negara itu dengan paparan persahabatan dan
keganasan antara penduduk negara itu dan Armenia.
Azerbaijan dan
Armenia tidak mempunyai hubungan diplomatik sejak perang membabitkan
wilayah rebutan, Nagorno-Karabakh, pada awal 1990-an, selepas Soviet
Union musnah, yang membunuh 30,000 orang.
Aktivis Pemerhati Hak Asasi, mengutuk ancaman terhadap Aylisli,
yang memegang gelaran Penulis Rakyat di Azerbaijan. Gelaran itu ditarik
balik oleh presiden minggu lalu selepas kisah Stone Dreams membangkitkan
kemarahan penduduk negara itu.
Hasil kerja yang disiarkan di majalah Russia, sebahagiannya menceritakan kisah penduduk negara itu cuba melindungi jiran Armenia mereka ketika penduduk Armenia diseksa dan dipukul di Baku pada tahun 1990.
Dengan hampir sejuta penduduk wilayah Nagorno-Karabakh yang kehilangan tempat tinggal menetap di Azerbaijan dan kedua-dua negara berdepan kesan ekonomi dan sosial akibat perang, topik hubungan etnik memang tidak wajar disentuh.
Pemimpin parti prokerjaan, Muasir Musavat, kelmarin berkata parti menawarkan 10,000 manat, hampir AS$13,000 (RM39,000) bagi sesiapa yang memotong telinga Aylisli.
“Aylisli menghina seluruh bangsa Azeri. Oleh kerana beliau menghina kami, kami mahu bertindak balas dan itu yang kami putuskan. Telinganya mesti dipotong,” kata Hafiz Haciyev di pejabat partinya di Baku.
Desak minta maaf
Malah sebelum ancaman Haciyev, pegawai Parti Yeni Azerbaijan yang memerintah negara itu juga mendesak Aylisli menarik balik novel berkenaan daripada pasaran dan meminta maaf kepada penduduk. Bantahan juga dibuat di luar rumahnya di Baku.[b.harian]