Sepasukan saintis dari Itali merancang untuk
memasang tangan bionik pertama yang memiliki deria sentuh kepada seorang
pesakit bagi membolehkan penerimanya merasa sentuhan.
Sebelum ini, saintis berjaya memasang tangan palsu yang hanya mampu
menerima arahan daripada otak untuk melakukan pergerakan, namun ia tidak
memberi rasa sentuhan.
Pasukan yang diketuai Dr. Silvestro Micera dari Ecole Polytechnique
Federale de Lausanne berkata, tangan baharu itu akan dipasang terus
kepada sistem saraf melalui elektrod yang dikepit pada dua saraf utama
lengan bagi mengembalikan deria sentuhan di kawasan yang telah dipotong.
Jelasnya, pemasangan terus pada sistem saraf utama membolehkan ia dikawal terus oleh penerima lengan tersebut.
"Elektrod akan membenarkan penerima mengawal tangan menggunakan apa
yang difikirkan mereka dan juga menghantar arahan kepada otak," katanya.
Kumpulan itu berharap rekaan baharu itu membuka jalan bagi
penghasilan anggota tangan atau kaki yang menyamai bahagian tubuh bagi
memberi rasa sentuhan dan meningkatkan ketangkasan anggota palsu itu.
Kajian sebelum ini menunjukkan separuh daripada individu yang
menjalani pembedahan membuang tangan atau kaki tidak menggunakan anggota
gantian palsu kerana merasa tidak selesa.
"Tangan baharu ini menjadi harapan buat mereka yang menjalani
pembedahan membuang anggota tangan atau kaki. Ia jelas menunjukkan
melalui rasa sentuhan, penerima akan merasa lebih selesa untuk menerima
anggota palsu ini," katanya.
Pada 2009, satu model tangan dengan deria rasa pernah dipasang buat
sementara kepada seorang pesakit melalui elektrod pada sistem saraf.
Pesakit itu dikatakan mampu menggerakkan jari, menggenggam dan
memegang objek dan berkata dia boleh merasa apabila jarum disuntik ke
lengan itu.
Model baharu ini akan memberi rasa sentuhan bagi kesemua bahagian jari termasuk ibu jari, tapak tangan dan pergelangan tangan.[utusan]