Seorang lelaki menyaman hospital yang menyebabkan dia tidak lagi
mampu mempunyai zuriat selepas pakar perubatan di situ tersalah membuang
buah zakarnya.
Pengarah syarikat berusia 48 tahun itu berkata, dia mendapatkan
rawatan di Hospital Daerah Salisbury selepas disyaki mengalami kanser
Katanya, dia menjalani pembedahan dengan harapan buah zakar yang
bermasalah itu dapat dibuang.
“Bagaimanapun, 40 minit selepas pembedahan dijalankan, doktor menyedari mereka melakukan kesilapan kerana memotong buah zakar yang sihat,” katanya. Menurut sumber, buah zakar itu dibawa semula ke dewan pembedahan dan doktor cuba menyelamatkan keadaan tetapi gagal.
Lelaki terbabit yang berasal dari Wiltshire menuntut hospital
membayar pampasan kepadanya atas kecuaian doktor mereka. Walaupun
mempunyai anak daripada hubungan terdahulu, kesilapan itu menghalang
lelaki terbabit mendapat zuriat.
Kata lelaki yang dirahsiakan identitinya itu, dia tertekan kerana tidak lagi mampu menjadi bapa. “Isu ini dikendalikan peguam saya,” katanya. Sementara itu, satu badan pemantau pesakit menggesa kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh atas insiden berkenaan.
Jurucakap Rangkaian Pembabitan Wiltshire berkata,
kejadian menimpa lelaki terbabit sangat tragik. “Adalah jelas siasatan
perlu dijalankan oleh hospital bagi mengetahui bagaimana kesilapan ini
berlaku.
“Dengan pembedahan ini, seseorang lelaki meletakkan sepenuh keyakinan mereka kepada hospital,” katanya. Badan yang mengendalikan hospital itu berkata, kejadian berkenaan sangat dikesali dan mereka meminta maaf kepada lelaki terbabit.[metro]