ituini. Dikuasakan oleh Blogger.

Khamis, 21 Februari 2013

Makanan ringan risiko kanser prostat

Lelaki yang menikmati makanan ringan bergoreng lebih sekali seminggu bakal meningkatkan risiko diserang kanser prostat sebanyak 30 peratus, menurut satu kajian. 
 
Kajian oleh sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Kanser Fred Hutchinson, Seattle mendapati makanan ringan seperti kentang goreng, ayam goreng, ikan goreng yang bersadur tepung dan donat memainkan peranan penting dalam membentuk penyakit berbahaya itu.

Walaupun beberapa penyelidikan sebelum ini menyatakan diet tidak seimbang menyebabkan lelaki mendapat kanser prostat, kajian terbaharu ini merupakan yang pertama menunjukkan makanan bergoreng lebih berbahaya.

"Kajian ini yang pertama mengaitkan antara pengambilan makanan ringan bergoreng dengan risiko kanser prostat," kata Ketua Penyelidik, Dr. Janet Stanford.

Beliau berkata, menikmati makanan ringan bergoreng sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu meningkatkan risiko kanser antara 30 hingga 37 peratus, berbanding lelaki yang hanya makan makanan tersebut kurang dari sekali sebulan.

Kajian tersebut dilakukan terhadap 1,549 lelaki yang dikesan menghidap kanser prostat dan 1,492 lelaki sebaya yang sihat. Kesemua peserta berusia antara 35 hingga 74 tahun dan mereka disoal mengenai tabiat pemakanan.

Menurut perangkaan, hampir 40,000 kes kanser prostat dikesan setiap tahun di United Kingdom dan 10,000 lelaki maut akibat penyakit itu.

Risiko kanser meningkat melalui pertambahan usia dan lelaki berusia 50 tahun mula dilihat lebih mudah diserang tumor, namun ia juga bergantung kepada elemen genetik.

Bagaimanapun, punca utama mengapa kentang goreng dan ayam goreng mengundang risiko kanser masih belum jelas.

Satu teori mengatakan, apabila minyak masak dipanaskan pada suhu yang tinggi bagi kaedah goreng tenggelam, bahan karsinogen yang bertanggungjawab dalam proses pembentukan sel kanser akan terbentuk dalam makanan yang digoreng itu.[utusan]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...