“Kalau alat kelamin tak ada, lebih baik mati saja,” begitu kata
seorang ibu berusia 38 tahun dalam keterangan kepada polis ketika
mengaku membunuh anak lelakinya berusia tujuh tahun kerana malu dengan
jiran-jiran di Jatinegara, Cakung, Jakarta Timur pada Selasa.
Dalam kejadian di rumahnya itu pada tengah hari semalam, wanita itu
dilaporkan telah membenam kepala kanak-kanak itu ke dalam baldi berisi
air sehingga tidak bernyawa.
Ibu itu juga mengikat tangan dan kaki anaknya agar dia tidak
meronta. Dia telah menyerah diri di balai polis dan mengaku melakukan
pembunuhan itu.
Seorang jurucakap polis dipetik sebagai berkata oleh portal berita kompas.com
bahawa kanak-kanak lelaki itu telah melalui proses berkhatan di
kampung halaman di Grobogan, Jawa Tengah, pada Disember lalu.
Setelah pulang ke Jakarta, wanita itu yang mendapati alat kelamin
anaknya mengecil telah membawa anaknya ke sebuah pusat berkhatan di
Bekasi, Jawa Barat.
Usaha itu tidak memberi hasil sebagaimana yang diharapkan sehingga
menyebabkan dia berasa malu dengan jiran-jiran dengan keadaan anaknya
itu, kata jurucakap berkenaan.
Selain motif perasaan malu, polis akan juga menyiasat motif lain
dalam pembunuhan itu kerana jiran-jiran wanita itu tidak mengetahui
masalah yang dialami kanak-kanak lelaki itu selepas dia berkhatan.[kosmo]