Melihat biseps Moustafa
Ismail, 25, yang sungguh besar itu pasti membuatkan sesiapa sahaja
teringatkan watak kartun kegemaran ramai, Popeye.
Namun, tidak seperti Popeye, Moustafa cukup benci dengan sayur bayam.
Biseps gergasinya itu juga bukan kerana makan bayam tetapi hasil diet
protein dan karbohidrat yang tinggi.
Setiap hari, ahli bina badan dari Massachusetts ini mengambil
kira-kira tujuh paun protein, sembilan paun karbohidrat dan tiga gelen
air bagi memastikan bisepsnya kekal berukuran 31 inci - sebesar pinggang
lelaki kurus.
Dia yang mampu mengangkat berat sehingga 600 paun menempa nama di dalam Guinness Book of World Records sebagai lengan terbesar di dunia tahun lalu.
Moustafa mula obses membina badan terutama bahagian lengannya selepas
dipersenda oleh seorang tetamu di majlis perkahwinan bapa saudaranya di
kampungnya di Mesir kerana berat badan yang berlebihan.
Sejak itu, dia nekad melakukan senaman setiap hari dari pukul 5 pagi
hingga 8 pagi yang tertumpu kepada kardio dan latihan kekuatan dengan
mengangkat berat.
Selain itu, dia mengambil sejumlah besar ayam, makanan laut dan
minuman protein setiap hari selain vitamin. Moustafa mula membina badan
di kampung halamannya di Mesir sebelum berpidah ke Amerika Syarikat pada
2007.
Bagi membayar yuran keahlian gim serta keperluan dietnya, dia bekerja sebagai atendan di dua buah stesen minyak.Namun, kontroversi pernah melandanya apabila dia dituduh mengambil
steroid atau melakukan implan bagi mendapatkan lengan Popeye tersebut.
Dia kemudian terbang ke Tokyo, Jepun bagi menjalani ujian darah dan
sinaran-X pada ototnya dan terbukti tiada yang abnormal pada dirinya.
Selepas tidak lagi dipersenda, Moustafa bagaimanapun menghadapi
cabaran lain iaitu mencari baju sesuai kerana bahagian lengannya yang
luar biasa besarnya.[utusan]