Tabiat mengunyah gula-gula getah di khalayak ramai, mungkin
menimbulkan rasa kurang selesa bagi sesetengah individu, namun satu
kajian saintifik terkini mendedahkan perlakuan mengunyah itu sebenarnya
baik untuk kecergasan otak.
Kajian oleh Institut Sains Radiologi Kebangsaan Jepun dan beberapa
institusi sains itu membuktikan, sekurang-kurangnya lapan tempat pada
otak manusia boleh mendapat manfaat daripada perlakuan tersebut.
Ketua penyelidik, Profesor Andy Smith, berkata, mengunyah gula-gula
getah, mampu meningkatkan ghairah dan mengundang tindakan sementara
kepada aliran darah dalam otak.
Menurutnya, responden yang terlibat diberi tugas ketika mengunyah
gula-gula getah dan tidak mengunyah serta bahagian otak mereka diimbas
untuk melihat bahagian mana yang paling aktif.
Ketika sesi ujian selama 30 minit dijalankan, responden akan menekan
butang dengan ibu jari bagi memberi tindak balas terhadap soalan yang
diberi pada skrin.
Responden yang tidak mengunyah gula-gula getah mengambil masa 545
mili saat untuk memberi tindak balas, berbanding 493 mili saat oleh
responden yang mengunyah gula-gula getah.
Menurut beliau, kawasan otak yang paling aktif ketika mengunyah
merupakan kawasan yang terlibat dengan pergerakan dan pemerhatian.
"Satu kes yang boleh dijadikan contoh, situasi pengurus bola sepak
kelab Manchester United, Alex Fergusson yang sentiasa mengunyah
gula-gula getah ketika pasukannya beraksi.
Mungkin ia hanya kebetulan,
namun, tindakan itu dilihat sangat tepat dalam keadaan yang getir
seperti itu," katanya.
Jelas beliau, keputusan ujian mencadangkan kunyahan meningkatkan
paras keghairahan dan kewaspadaan yang menjana kawalan motor, sekali gus
membantu meningkatkan persembahan kognitif individu.[utusan]