ituini. Dikuasakan oleh Blogger.

Ahad, 3 Februari 2013

Silap hantar mayat isteri

Seorang suami terkejut semalam apabila membuka keranda di majlis pengebumian isterinya di sebuah gereja dan mendapati mayat orang lain di dalamnya.

Keluarga Galant mengatur majlis itu untuk Magdalene Galant, 58, yang mati pada 26 Januari lalu akibat serangan sakit jantung.

Kematiannya bertukar menjadi tragedi berganda apabila pengurusan rumah mayat menghantar mayat lain dan berkeras menyatakan ia mayat Magdalene.

Si suami, Michael Galant berkata, dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila membuka keranda itu.

“Kebimbangan saya menjadi kenyataan apabila semua yang hadir juga terkejut.“Anak saya mendekati saya dan berkata, ‘Itu bukan emak.’ Saya tahu ini kesilapan besar,” kata Galant. Keluarga itu kemudian berkata, mereka bertanya mengenai kesilapan itu kepada pekerja rumah mayat.

Anak Galant, Leota Lakay berkata, pekerja terbabit tidak dapat menjelaskan bagaimana mayat itu boleh tertukar.

“Mereka mulanya bertegas berkata, itu ibu saya. Saya memberitahu mereka, saya kenal ibu saya.“Mereka kemudian mengaku silap, menarik laci yang salah di rumah mayat,” kata Leota.

Keluarga itu berkata, mereka cuba menghentikan majlis berkenaan tetapi pekerja berkenaan meyakinkan mereka supaya meneruskannya.

Orang semakin ramai datang untuk memberi penghormatan terakhir tetapi berita kemudian tersebar bahawa mayat di dalam keranda itu bukan Magdalene.

“Kami sungguh trauma. Kami hanya mahu memberi penghormatan terakhir kepada isteri saya. Tetapi ini yang berlaku,” kata Galant.

Selepas majlis itu, pekerja membawa keluarga itu ke rumah mayat.“Apabila tiba, mereka menunjukkan kepada kami mayat Magdalene masih ada di situ dan mereka menghantar mayat orang lain untuk kami kebumi,” katanya.[metro]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...