ituini. Dikuasakan oleh Blogger.

Selasa, 26 Mac 2013

Uthman El-Muhammady meninggal dunia

Tokoh Maal Hijrah 2005 Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, 70, meninggal dunia di kediamannya di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Ketamadunan (Istac) semalam akibat sakit jantung.

Dr Muhammad meninggal dunia pada kira-kira 7.30 malam.Beliau meninggalkan seorang balu Mariam Hussain, 65, dan 11 anak iaitu tujuh perempuan dan empat lelaki, berumur antara 20-an dan 40-an serta lebih 40 cucu.

Anak lelaki Allahyarham, Ahmad, 35, berkata bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau mengadu sakit namun kelihatan letih siang tadi.

"Allahyarham ketika itu sedang membaca buku dan mengadu kepada ibu saya yang beliau letih dan ingin tidur, sebelum ibu menyedari bapa saya telah meninggal dunia dalam tidur," katanya kepada pemberita ketika ditemui malam ini.

Ahmad berkata bapanya juga sebelum ini tidak menunjukkan kelakuan pelik namun Allahyarham kelihatan begitu gembira pada Ahad lepas ketika berkumpul bersama anak serta cucunya.

Beliau berkata Allahyarham yang menghidap sakit jantung sejak setahun lepas juga sempat menterjemah dua buku agama.

Allahyarham akan dimandi dan disembahyang di Masjid Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak pada 9 pagi sebelum dikebumi di Tanah Perkuburan Islam UIA selepas solat Zohor.

Dr Muhammad, yang merupakan tokoh pemikir Islam tanah air, dilantik Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia sejak 1995 hingga 2008, sebelum dilantik semula hingga 2010.

Allahyarham juga adalah Felo Amat Utama Akademik Istac UIA dan anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Karyawan, juga pensyarah sambilan peringkat ijazah sarjana dalam perbandingan agama di Universiti Teknologi Mara (UiTM).[malaysiakini]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...