“Selepas tiga jam mencari, saya ternampak mayat anak dalam keadaan
berdiri sebelum terus mencapai rambutnya,” kata Ahmad Long, 55, yang
turut ke laut untuk mencari anaknya, Marzuki Akmar, 22, yang lemas
ketika memukat udang, kelmarin.
Menurut Ahmad, dia bersyukur kerana selepas seharian lemas akhirnya
dia sendiri menemui mayat anaknya itu ketika keluar mencari bersama dua
lagi rakannya.
“Selagi tidak jumpa, saya gelisah dan tidak dapat lelapkan mata, namun hari ini (semalam), saya lega kerana mayat anak berjaya ditemui.
“Memang naluri saya sebagai bapa kuat mengatakan yang mayat anak
akan ditemui juga di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui di
Hospital Balik Pulau, semalam.
Menurutnya, ketika mayat ditemui, kaki anaknya itu didapati terbenam dalam lumpur dengan keadaan masih memegang topi.
“Walaupun sedih, saya tetap reda dan bersyukur kerana mayatnya ditemui juga lebih-lebih lagi saya sebagai bapanya,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi kelmarin, dua beradik yang keluar memukat udang lemas selepas terjatuh ke dalam laut.
Ketika itu, kaki Marzuki Akmar dikatakan terbelit pada pukat sebelum abangnya, Mazlan nekad terjun untuk menyelamatkan adiknya itu.
Bagaimanapun, badan Mazlan dikatakan terbelit pada pukat sebelum
dia lemas dan mayatnya berjaya ditemui kira-kira jam 12 tengah hari,
kelmarin.[metro]