Seorang ibu menyaman restoran makanan segera McDonald’s selepas anak
lelakinya yang berusia dua tahun memakan kondom yang sudah digunakan
yang ditemui di kawasan permainan kanak-kanak restoran terbabit.
Anishi Spencer memfailkan tuntutan ganti rugi sebanyak AS$50,000
(RM150,000). Anishi mendakwa dia mengunjungi cawangan restoran itu di
Chicago dengan anak lelakinya, Jonathan, tiga, dan Jacquel, dua, pada 4
Februari tahun lalu apabila kanak-kanak itu menemui kondom terpakai di
lantai ruang permainan restoran berkenaan di Kezie Avenue.
Dia berkata, anak lelakinya Jacquel kemudian memuntahkan kondom itu dan kedua-dua mereka terpaksa dirawat di hospital. Dalam kes saman itu, Anishi menuduh McDonald’s Corporation di Illinois gagal membersihkan ‘bahan berbahaya’ di kawasan permainan kanak-kanak, lapor akhbar Chicago Sun Times.
Ia juga mendakwa rangkaian restoran itu tidak menggunakan
alat pengawasan untuk mengesan kegiatan ‘kurang sopan’ di kawasan
sekelilingnya.
Seorang jurucakap McDonald’s berkata: “Menyediakan persekitaran yang
selamat dan bersih menjadi keutamaan kami. Restoran di Kezie Avenue juga
tidak terkecuali.
“Kami memandang serius hal ini dan mula menyiasat semua dakwaan dikemukakan untuk mengumpulkan bukti. Menurut jurucakap itu, ketika saman itu difailkan, syarikat itu belum menyelesaikan siasatan mereka.
Dia juga berkata, syarikat itu sukar untuk menjalankan siasatan kerana Anishi tidak menyerahkan kondom yang didakwanya ditemui di perkarangan restoran berkenaan.
“Ini hanya dakwaan dan kami meminta orang ramai agar tidak membuat kesimpulan tanpa fakta yang kukuh,” kata jurucakap itu.[metro]