Pengganas Sulu yang dipercayai bergerak pantas dalam kumpulan kecil
bertambah tertekan apabila pasukan keselamatan bertindak melancarkan
beberapa serangan mortar ke kawasan Sungai Nyamuk dekat sini semalam.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin
berkata, serangan di kawasan yang dipercayai menjadi lokasi
persembunyian musuh itu dilakukan bagi memastikan pengganas tidak keluar
dari kawasan kawalan.
Katanya, perkara itu harus dilakukan sebelum operasi penggeledahan
dibuat bagi memastikan keselamatan pasukan keselamatan lebih terjamin.
"Kita harus ingat mereka telah berpecah kepada beberapa kumpulan
kecil dan mengetahui selok-belok jalan di kawasan Sungai Nyamuk selain
bergerak dengan pantas.
"Sebab itulah kita perlu lepaskan tembakan bagi memastikan mereka
terus berada dalam kepungan. Kita mahu pastikan kumpulan ini tidak
terlepas, tetapi dalam masa yang sama pasukan kami perlu berhati-hati,"
katanya pada sidang akhbar di sini semalam.Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.[kosmo]