Adakah anda duduk dengan selesa? Lebih baik
jangan, kerana bukti perubatan mendapati duduk terlalu selesa boleh
mengurangkan jangka hayat anda.
Kerusi yang boleh meletak tangan, kerusi pejabat dan sofa sebenarnya boleh mengundang bahaya.
Duduk yang lama di kerusi berkenaan boleh meningkatkan bahaya kerana
ia dikaitkan dengan beberapa wabak moden yang bertoksik daripada kanser,
sakit jantung dan tekanan darah tinggi sehinggalah kepada angin ahmar.
Minggu lalu, penyelidik dari Universiti Leicester dekat sini
melaporkan, masa yang dihabiskan dengan duduk dipercayai akan
meningkatkan risiko.
Katanya, perbuatan itu menyebabkan tubuh manusia mengumpulkan paras
tertinggi gula dan lemak berbahaya di dalam aliran darah anda, sekali
gus meningkatkan risiko diabetes tahap dua.
Kerusi nampaknya seperti calon ganjil untuk termasuk dalam senarai gaya hidup berbahaya seperti minuman keras, rokok dan dadah.
Orang ramai kini didapati menghabiskan masa sehingga 10 jam sehari
untuk duduk sama ada di tempat kerja mahupun menonton televisyen,
berbeza dengan apa yang berlaku sebelum zaman pertengahan Eropah dengan
perbuatan itu sering dikaitkan kepada aktiviti golongan bangsawan.
Satu lagi penyelidikan pada bulan lalu oleh University of Western
Sydney ke atas lebih 60,000 lelaki pertengahan umur mendapati mereka
yang duduk lebih dari empat jam sehari cenderung untuk mengalami
penyakit kronik seperti barah, penyakit jantung dan tekanan darah
tinggi,
Ketua Penyelidik, Emma George berkata, kadar penyakit kronik yang
dilaporkan oleh responden meningkat semakin banyak dengan masa duduk
yang semakin panjang.
Mereka yang duduk lebih 11 jam sehari akan meningkatkan risiko
sebanyak 40 peratus untuk mati dalam masa tiga tahun akan datang
berbanding yang duduk selama empat jam sehari.[utusan]