Bagi kebanyakan pemandu berpengalaman, meletakkan kereta secara
selari bukan perkara yang mudah untuk dilakukan, lebih-lebih lagi jika
perbuatan kita sedang diperhatikan oleh pemandu lain yang boleh
menganggu cara pemanduan kita.
Namun, dua beradik dari Britain berjaya melakukannya, walaupun di
ruang letak kereta paling sempit dan dengan cara pemanduan yang laju dan
hanya menggunakan brek tangan serta teknik pusingan tayar.
Atas kemahiran mereka, Alastair dan John Moffatt, berjaya memecah
rekod dunia meletakkan kereta di ruang paling sempit, dengan hanya
meninggalkan ruang sekecil 13.1 sentimeter antara kereta depan dan
kereta belakang.
Dua beradik dari Gloucester itu mempamerkan kemahiran pemanduan dan
ketepatan mereka untuk mengenepikan rekod sebelum ini yang dipegang oleh
Ronny Wechselberger, dengan jarak yang tinggal sekecil 14 sentimeter.
Dalam cabaran terbaharu tersebut, Alastair dan Moffatt perlu
menggelincirkan kereta ke dalam ruang letak kereta yang sempit tanpa
menyentuh kereta lain atau terkeluar daripada garisan putih yang
ditetapkan.
Mereka menggunakan kereta Mini Mayfairs untuk melengkapkan misi
mereka itu, sambil diperhatikan oleh para juri dan beberapa kamera.
Moffatt, 31, yang merupakan orang pertama memecahkan rekod tersebut
berkata, dia terkejut dengan pencapaiannya memecah rekod sebelum
disusuli oleh adiknya.
Alastair, 29, pula berkata, dia berasa sangat lega selepas melakar kejayaan tersebut.
"Saya hanya mempunyai satu atau dua percubaan untuk menyahut cabaran itu, menyebabkan tekanan semakin meningkat.
"Kejayaan kami memegang rekod dunia ini secara bersama merupakan
pencapaian yang hebat dan kami akan bersaing sesama sendiri untuk
mencipta rekod baharu," katanya.
Cabaran mereka itu dirakam pada Disember lalu untuk rancangan
Officially Amazing yang memaparkan kisah-kisah lucu, pelik, mengarut,
menakutkan dan percubaan memecahkan rekod dunia.[utusan]