Pasukan keselamatan hari ini mengesahkan panglima tentera Sulu yang
ditangkap di Semporna semalam ialah Datu Amir Bahar Hushin Kiram.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki
berusia lewat 40-an yang juga menteri pertahanan Sulu itu bertindak
sebagai panglima yang memberi arahan sejak pencerobohan di Lahad Datu 12
Februari lepas.
"Dia kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah
Khas) (Sosma) 2012," katanya pada sidang akhbar bersama Panglima
Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di Markas Operasi Felda
Sahabat 16, dekat sini hari ini.
Semalam, pasukan keselamatan menahan seorang pemerintah kumpulan
penceroboh itu bersama isterinya di sebuah kawasan paya pada pukul 1.30
pagi.
Mengenai penduduk Kampung Tanduo yang dipindahkan, Khalid berkata
pihaknya telah mencapai persetujuan bersama ketua-ketua keluarga dan
ketua kampung itu untuk membawa mereka masuk ke kampung berkenaan Selasa
ini.
Langkah itu adalah sebahagian daripada proses penilaian yang sedang
dijalankan Majlis Keselamatan Negara dan mereka akan diiringi pegawai
daripada Pejabat Daerah Lahad Datu dan pasukan keselamatan.
Mengenai statistik terkini Operasi Daulat, Khalid berkata sehingga kini
416 individu ditangkap dan daripada jumlah itu 110 orang ditahan
mengikut Sosma. Dua tangkapan terbaharu Sosma itu ialah panglima
tentera Sulu terbabit dan isterinya.
Sementara itu, Zulkifeli berkata kawasan Kampung Tanduo kini bersih
sepenuhnya daripada ancaman pengganas dengan bilangan pasukan
keselamatan yang ditugaskan di kampung itu turut dikecilkan.Mengenai Operasi Daulat, beliau berkata operasi itu masih diteruskan.
"Kini, fokus utama Operasi Daulat ialah meneruskan pembersihan di
kawasan Kampung Tanjung Batu dan yakin ia mampu diselesaikan dalam masa
terdekat," katanya.[sinar]