Pemain veteran England, David Beckham kekal mendahului senarai
penerima bayaran tertinggi dalam kalangan pemain bola sepak dunia.
Sebuah majalah bola sepak di Perancis melaporkan bahawa bekas bintang
Manchester United, Real Madrid dan Los Angeles Galaxy berusia 37 tahun
yang sudah berada di penghujung karier itu mengatasi bintang terbaik
dunia, Lionel Messi dan pemain sayap prolifik Portugal serta Real
Madrid, Cristiano Ronaldo.
Sumber itu mendedahkan bahawa Beckham menerima 36 juta Euro (RM145
juta) sepanjang musim 2012/2013 bagi mendahului pemain terbaik dunia
sebanyak empat kali, Messi.
Beckham yang meninggalkan LA Galaxy pada Disember tahun lalu dan kini
menyertai Paris Saint-Germain (PSG) dilaporkan menerima gaji tahunan
sebanyak 1.7 juta Euro (RM6.8 juta), 1.3 juta Euro (RM5.2 juta) lagi
diperoleh menerusi bayaran bonus manakala 33 juta Euro (RM133 juta) pula
pendapatan sampingan termasuk pengiklanan.
Dalam pada itu, ketika Beckham menandatangani kontrak bersama kelab
gergasi Perancis, PSG dahulu, dia mengumumkan bahawa semua pendapatannya
sepanjang di kelab tersebut akan disumbangkan kepada badan kebajikan.
Sementara itu, bintang Argentina dan Barcelona, Messi pula menerima
pendapatan berjumlah 35 juta Euro (RM141 juta) termasuk 13 juta Euro
(RM52 juta) menerusi gaji dan bonus termasuk lain-lain sumber.
Ronaldo pula menduduki tempat ketiga dengan jumlah pendapatan
keseluruhan sebanyak 30 juta Euro (RM121 juta) termasuk 13.5 juta Euro
(RM54.5 juta) menerusi gaji serta bonus.
Selain itu, sumber tersebut turut mendedahkan bahawa jurulatih Real
Madrid, Jose Mourinho pula mendahului senarai penerima pendapatan paling
lumayan dalam kalangan jurulatih di dunia.
Mourinho memperoleh pendapatan sebanyak 14 juta Euro (RM56.6 juta)
mengatasi Carlo Ancelotti (PSG) dan Marcello Lippi (Guangzhou
Evergrande) yang masing-masing menerima 12 juta Euro (RM48 juta) dan 11
juta Euro (RM44 juta).[kosmo]