Keputusan penyampai radio, pelawak dan pengacara
terkenal, Salih Yaacob, 52, untuk bersara nampaknya masih belum goyah.
Biarpun dalam kalangan peminat masih belum mahu melihat dia 'hilang'
dari dunia hiburan tempatan, pun begitu, Salih ketika ditemui tetap
dengan pendiriannya.
Mengakui bahawa sudah lama memikirkan hal berkenaan, ada sebab tertentu yang menyebabkan dia tegas dengan keputusannya itu.
Cuma menunggu kontraknya dengan stesen radio Sinar FM tamat menjelang
akhir tahun ini, Salih dilihat jelas dengan alasannya untuk berundur
dalam dunia hiburan.
"Saya cuma fikir tentang keluarga. Selama ini, saya bekerja, mencari
pendapatan untuk keluarga hingga saya terlupa ada perkara yang saya
tertinggal.
"Saya tertinggal untuk melihat anak-anak saya membesar. Tahu-tahu saja mereka kini dah pun meningkat remaja.
"Saya rasa jauh dengan keluarga. Bukan tak bahagia. Tapi saya tak
betul-betul berada dengan mereka bila perlu. Alhamdulillah, anak-anak
tak pernah merungut dan mereka memahami.
"Cuma saya rasa dah sampai masanya untuk saya fokus pada keluarga besar saya," jelasnya.Selain itu, Salih turut tidak menafikan bahawa keputusannya itu juga dibuat atas rasa kecewanya terhadap industri.
Meski tahu dia masih boleh meneruskan kerjaya seninya sebagai pelakon
dan pelawak, dia bagaimanapun tidak yakin untuk hala tuju itu.
"Nak sibuk dengan penggambaran drama pun saya rasa tak mampu. Satu sebab memang saya tak ada masa, satu lagi soal bayaran.
"Produksi pula selagi bajet boleh dikecilkan, lagi mereka nak
kecilkan. Lepas itu, beri alasan klise bajet tak ada. Dari zaman 80-an
dulu sampai sekarang, saya tengok tak banyak berubah pun.
"Kalau saya ada duit sekali pun, saya tak nak labur buat filem. Bagi saya itu semua buang duit dan buang masa saja.
"Tak apalah... saya undur, beri peluang pada orang baru. Sekarang pun semakin ramai bakat-bakat baru," katanya.
Petanda untuk bersaraDalam pada itu kata Salih, dia melihat kontroversi penyebaran cereka pendek di laman YouTube berjudul Bangkang dari Longkang baru-baru ini juga umpama satu isyarat dari Allah SWT untuk dirinya bersara.
Walaupun itu adalah sebuah cereka lawak yang dibuat tidak lama dulu,
Salih bagaimanapun tidak menyangka ada pihak yang sengaja memuat naik di
YouTube dengan agenda tersendiri lebih-lebih lagi apabila negara bakal
berdepan dengan musim pilihan raya.
Pun begitu, Salih optimis dengan apa yang berlaku."Saya melihat itu satu hikmah daripada Allah SWT. Umpama petanda dari-Nya agar saya berundur dari dunia hiburan.
"Kalau ditanya, ya saya memang menyesal kerana terlibat dan pada
awalnya saya tak tahu dan hanya menurut skrip yang diberikan oleh pihak
produksi sahaja.
"Saya mengaku itu salah saya dan saya mohon maaf dengan apa yang
berlaku sehingga menyebabkan ada sesetengah pihak tidak senang hati dan
sensitif dengan hal itu," katanya.
Ditanya mengenai keterbukaannya dalam hal politik kata Salih dalam
nada tegas, dia setakat ini tidak pernah menyatakan pandangan politiknya
terhadap mana-mana pihak.
"Saya tak pernah terlibat dengan hal politik. Saya ingat apa yang dipesan oleh arwah bapa saya."Dia pesan agar saya tak campurkan hal politik dengan kerjaya. Itu yang saya pegang sampai sekarang," ujarnya lagi.[utusan]