ituini. Dikuasakan oleh Blogger.

Sabtu, 23 April 2011

Perkasa: ‘1Bumiputera’ tetap dilancar

Dr Mahathir
KUALA LUMPUR, 23 April — Perkasa bertegas mahu meneruskan pelancaran gerakan “1Bumiputera” —  menyahut idea “1Melayu, 1Bumi” disyorkan oleh editor Utusan Malaysia walaupun tidak disambut baik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Pertubuhan bukan kerajaan pembela hak dan keistimewaan Melayu itu mahu melancarkan gerakan tersebut sebaik sahaja Dr Mahathir selesai berucap merasmikan perhimpunan nasional Perkasa di Alor Setar hujung bulan ini.
“Perkasa menghormati pandangan Tun Mahathir yang tidak setuju tentang cadangan Perkasa hendak lancar (gelombang) 1Bumiputera.
“Itu pandangan Tun M dan kami hormatinya. Tun M juga tidak setuju dengan 1 Malaysia.  Banyak kali beliau sebut beliau tidak faham 1 Malaysia bila ramai bertanya kepada beliau,” kata Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali dalam satu kenyataannya.
Semalam, Dr Mahathir berkata idea gelombang “1Melayu, 1Bumi” adalah tidak baik untuk negara jika diadakan dan akan membawa kepada malapetaka.
“Saya harap ia tidak berlaku... jika kita laksanakan juga, akan terdapat sistem dua parti dalam politik. JIka  satu dikuasai oleh Melayu dan satu lagi oleh Cina, ia akan membawa malapetaka kepada negara,” katanya.
Katanya, Perkasa akan melancarkan 1Bumiputera untuk menyatukan kaum Bumiputera untuk bersama-sama mempertahankan hak dan kuasa politik.
Kata Syed Hassan, Perkasa akan meneruskan kempen melancarkan “1Bumiputera” di Kedah pada 30 April ini sebaik sahaja Dr Mahathir meninggalkan majlis kerana menghormati pandangan beliau.
“Tun M, di Kedah nanti, (akan) diberi kebebasan untuk berucap mengikut apa yang beliau rasakan perlu handak sampaikan dalam ucapannya sempena Perhimpunan Melayu Perkasa Kedah.
“Perkasa percaya apa yang Tun (Mahathir) sampaikan pastinya demi keharmonian penduduk negara ini. Presiden Perkasa akan lancarkan 1Bumiputera secara berasingan sebaik Tun M meninggalkan majlis,” katanya sambil menambah, pihaknya berharap semangat “1Bumiputera” menyerapi jiwa semua kaum Bumiputera termasuk Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu soal Syed Hassan, apa salah mereka jika hendak menjiwai “1Bumiputera” dan mendakwa Perkasa melihat dengan jelas sekarang kaum Cina menjiwai “1Cina” melalui pertubuhan bukan kerajaan mereka.
“Mereka boleh sehati sejiwa dalam hal-hal kepentingan kaum mereka walau berlainan ideologi politik. Jadi mengapa perlu pertikaikan cadangan Datuk Zaini Hassan dari Utusan dan kini Perkasa menyahut cadangannya?” kata beliau.
Bagaimanapun katanya, Perkasa bukan menolak gagasan 1 Malaysia dibawa Datuk Seri Najib Razak tetapi tapi “masalahnya kaum lain sudah mentafsirkan 1 Malaysia sebagai gagasan kesamarataan yang tidak adil pada kaum Bumiputera.”
Syed Hassan juga berkata, Perkasa melancarkan gerakan “1Bumiputera” untuk menyatukan kaum Bumiputera untuk bersama-sama mempertahankan hak dan kuasa politik.
Katanya, walaupun mereka berlainan etnik pribumi tetapi ia dalam status Bumiputera dan tiada masalah berlainan ideologi politik tapi perlu ada kesedaran bersama dalam perkara-perkara kepentingan Bumiputera.
“Masih boleh satu suara atas kepentingan Bumiputera walau terbahagi dalam Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat. Perkasa akur bila sudah terbahagi dalam DUN atau Dewan Rakyat sudah pasti ada percanggahan, namun bila menyentuh kepentingan Bumiputera, ia perlu satu hati bagi semua Adun atau Ahli Parlimen Bumiputera,” katanya.
Begitu juga dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang prokerajaan dan propembangkang, kata beliau, mesti bersama-sama apabila hal-hal membabitkan kepentingan Bumiputera dibangkitkan.
“Bila mereka boleh bersama dalam hal ini, itulah maknanya kuasa politik Bumiputera masih kekal,” katanya lagi.

*cuak aku ngan suria perkasa hitam ni..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...