Gaduh kerana kura-kura;
SETIU: Gara-gara perselisihan faham mengenai siapa yang sepatutnya menjaga seekor kura-kura, dua beradik termasuk seorang anggota polis berpangkat lans koperal cedera dibelasah lima lelaki di sebuah pasar raya di Permaisuri, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, seorang pengawal keselamatan di Hospital Setiu berusia 22 tahun dilaporkan ingin menyerahkan seekor kura-kura untuk dijaga seorang rakan perempuannya berusia 20-an yang juga pekerja pasar raya berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani, berkata tidak lama selepas itu tiba-tiba muncul dua lelaki dipercayai rakan wanita berkenaan mengajak mangsa ke belakang bangunan pasar raya itu dan berlaku pertengkaran sebelum membelasah mangsa.
“Panik dengan insiden itu, mangsa menelefon abangnya, seorang anggota polis berusia 26 tahun untuk datang membantu dan meleraikan keadaan.
“Namun, datang tiga lagi lelaki dengan dua daripadanya membawa dua parang melibas mangsa dan akibatnya anggota polis itu cedera di bawah mata manakala adiknya cedera di pergelangan tangan,” katanya.
Anak berhutang RM10 bapa pula dibelasah;
PORT DICKSON: Angkara wang RM10, seorang pemilik bengkel berusia 40 tahun parah ditetak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dalam satu kejadian di sebuah bengkel di sekitar Air Kuning, di sini, malam kelmarin.Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, lapan lelaki berusia 29 hingga 31 tahun ke bengkel berkenaan untuk meminta wang daripada anak mangsa yang berhutang dengan salah seorang daripada kumpulan itu.
Bagaimanapun, anak mangsa berusia belasan tahun enggan memulangkan wang berkenaan menyebabkan suspek memukul remaja terbabit.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh berkata, menyedari kejadian itu, mangsa menegur tindakan kumpulan berkenaan yang ketika itu hanya seramai tiga orang.
“Akibat berang ditegur, seorang daripada suspek menghubungi lima rakannya sebelum mereka menyerang dan menetak lelaki itu menggunakan parang hingga menyebabkannya cedera di kepala, tangan dan perut sebelum melarikan diri,” katanya.[meTtro]