USAH BUAT SPEKULASI... gambar Cico yang disiarkan di Internet baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Pelakon bertubuh sasa yang juga anak penyanyi serta pelakon popular 1970-an, Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin atau lebih dikenali sebagai Cico, 32, tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana parti politik selepas gambarnya tersiar bersama Bob Lokman di beberapa blog kebelakangan ini.
Malah, anak tunggal Uji Rashid itu memberitahu Metro Ahad, dia tidak berminat berpolitik kerana kurang arif dalam bidang itu yang disifatkannya sebagai rumit.
“Itu hanya kebetulan dan gambar itu dirakam di Masjid Al Azim, Pandan, Selangor selepas kuliah Maghrib.
“Saya memang sering ke masjid berkenaan kerana ia berdekatan rumah... jika hendak kaitkan saya dengan politik, saya minta maaf kerana saya kurang arif mengenainya,” katanya ketika ditanya mengenai komen blog berkenaan yang mendakwa kehadiran Cico hanya kebetulan, tapi mungkin juga dia menerima hidayah Pas yang kini mahu mengumpul seberapa ramai artis bagi menarik perhatian pengundi muda.
Berdasarkan gambar berkenaan, Cico dilihat berdiri di tengah-tengah antara Bob dan seorang lelaki sambil tertawa.
“Kami hanya terserempak dan rasanya tiada salah saling menegur kerana mengenali satu sama lain.
“Tujuan saya ke masjid adalah menunaikan solat jemaah kerana ia (masjid) berdekatan tempat tinggal saya dan bukan kerana ada undangan khas.
“Terus terang, saya kurang bijak dalam hal politik kerana ia perkara rumit. Malah, saya gembira dengan kerajaan pimpinan sekarang dan saya ke masjid kerana ia tuntutan agama,” katanya.[metro]
*cuak aku..bagus berpendirian tetap..hormat keputusan cico ...dia tak minat berpolitik2 ni..