KUALA LUMPUR: Pelakon yang sedang menjalani perbicaraan membabitkan  kes dadah, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 33, atau lebih dikenali sebagai  Benjy dilaporkan masih tidak sedarkan diri sejak dibawa ke Hospital  Pakar Damansara di sini, Selasa lalu.
Benjy dikatakan menggunakan  mesin pernafasan selepas dia dilaporkan  sukar bernafas kerana diserang penyakit asma kronik dan kini sedang  dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan.
Difahamkan,  Benjy yang masih dalam pemantauan pihak berkuasa sementara menanti  perbicaraan dilaporkan rebah di kediamannya di Petaling Jaya di sini,  kerana sukar bernafas kira-kira jam 6 pagi menyebabkan dia gagal hadir  ke mahkamah, kelmarin.
Rentetan itu, Benjy dibawa ke hospital untuk rawatan susulan.
Ibunya  Azean Irdawaty Yusoef ketika dihubungi, berkata anak lelakinya  itu masih tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke hospital berkenaan.
“Setakat ini saya belum tahu keadaan sebenar Benjy. Saya dimaklumkan   doktor memberinya ubat pelali supaya Benjy dapat tidur dan berehat.
“Apa yang saya lihat, Benjy terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Azean yang lebih senang dipanggil Kak Yan, berkata doktor memaklumkan supaya bersabar selain mendakwa mereka terpaksa menunggu dua hingga tiga hari bagi memastikan keadaan sebenar anaknya itu.[metro]
