ituini. Dikuasakan oleh Blogger.

Jumaat, 11 Januari 2013

Syarat2 dan panduan yang mesti dipatuhi oleh peserta HKR

Jawatankuasa Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) menyeru semua peserta himpunan di Stadium Merdeka esok mematuhi syarat-syarat yang telah dipersetujui oleh pihak jawatankuasa dan pihak polis.

Pengerusi HKR, Mohamad Sabu melarang para peserta melakukan sebarang provokasi dan melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran dan keharmonian himpunan dari jam dua hingga lima petang.

Berikut merupakan syarat-syarat yang mesti dipatuhi oleh peserta HKR:

1. Penganjur dan peserta yang berada dalam himpunan itu tidak melakukan apa-apa perbuatan atau membuat apa-apa pernyataan yang berkecenderungan untuk mengembangkan perasaan jahat, perasaan tidak puas hati atau permusuhan di kalangan orang awam amnya atau membuat apa-apa yang akan menganggu ketenangan orang awam.

2. Penganjur dan peserta hendaklah menahan diri daripada berkelakuan secara menyakitkan hati atau menggunakan kata-kata kesat terhadap mana-mana orang  ketika berlangsungnya perhimpunan.

3. Penganjur dan peserta perhimpunan dikehendaki menentukan tidak berlaku perbuatan khianat atau bencana ke atas harta semasa perhimpunan.

4. Penganjur dan peserta perhimpunan dilarang menganggu, mengubah dan mendirikan sebarang halangan lalu lintas.

5. Penganjur hendaklah memastikan tiada kenderaan diletakkan di bahu jalan; kiri dan kanan sepanjang Jalan Hang Jebat, jalan Changkat Stadium dan Jalan Stadium serta Jalan Maharajalela.

6. Penganjur hendaklah memastikan para peserta perhimpunan tidak menimbulkan sebarang kekecohan, provokasi dan sesuatu perkara yang boleh menimbulkan ketidakselesaan terhadap orang awam semasa bergerak ke Stadium Merdeka.

7. Peserta hanya boleh membawa dan mempamerkan plakad, sepanduk dan kain rentang hanya berkaitan dengan tuntutan masing-masing seperti Anak, Anti Lynas, R dan Bersih.[harakah]

Panduan penting untuk keselamatan peserta


Peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat, Sabtu ini disaran mengikuti garis panduan yang ditetapkan oleh penganjur bagi kelancaran sepanjang himpunan.

APA YANG PERLU DIPAKAI

-Pakaian yang selesa untuk bergerak termasuk alas kaki/kasut yang sesuai.
-Pakaian bersih dalam beg – untuk ditukar jika terkena bahan kimia.
-Baju hujan boleh dibawa dan digunakan untuk melindungi diri dari cecair kimia (jika ada) termasuk pelindung kepala dan cermin mata keselamatan (shatter resistant eye protection).

APA YANG PERLU DIBAWA

-Bawa air mineral/minuman secukupnya untuk diminum. Kami mencadangkan 2-3 botol air mineral/minuman 500 ml.
-Sapu tangan bersaiz besar atau tuala kecil. Basahkan dan tutup mulut/hidung dengannya sekiranya gas dilepaskan.
-Makanan seperti coklat, snek makanan ringan.
-Jika anda ada masalah kesihatan serius seperti masalah jantung dan paru-paru, kami menasihati anda mengelakkan diri dari menghadiri perhimpunan ini.
-Jika anda ada masalah kesihatan yang terkawal dan mahu menyertai perhimpunan, pastikan bawa ubat-ubatan preskripsi anda untuk bekalan sekurang-kurangnya sehari termasuk alat inhaler untuk pesakit asma.
-Topeng muka (surgical mask) boleh dibawa.
-Bawalah wang saku yang mencukupi untuk makanan, pengangkutan, telefon dan sebagainya sekadar perlu.

PERKARA YANG PERLU/DILARANG UNTUK DILAKUKAN

-Rehat, makan dan minum secukupnya sebelum perhimpunan. Walaupun kita berniat untuk berhimpun secara aman, kita tidak dapat mengagak tindak balas dari mereka yang cuba menghalang perhimpunan.
-Sertailah perhimpunan secara berkumpulan dengan rakan/keluarga yang mengenali anda, dan mengetahui masalah kesihatan anda sekiranya ada. Jangan bergerak bersendirian.
-Jangan pakai pelembap kulit berasaskan minyak kerana ia boleh mengakibatkan bahan kimia terperangkap lama.
-Jangan pakai kanta pelekap (contact lenses) yang juga boleh memerangkap bahan kimia di mata.

PERLINDUNGAN DARIPADA GAS PEMEDIH MATA/BAHAN KIMIA (Jika ada)

Tanda-tanda terkena bahan kimia:
* Pedih di mata, hidung, mulut dan kulit
* Pandangan kabur, dan air mata keluar berlebihan
* Cecair hidung keluar secara berlebihan
* Batuk dan sesak nafas
* Pening

Tanda-tanda di atas hanya sementara. Ketidakselesaan pada mata akibat gas pemedih mata akan hilang selepas 5-30 minit, manakala kesan ‘pepper spray’ memerlukan 20 minit-2 jam.

Bagaimana menghadapinya:

-BERTENANG. Jangan panik. Ingat, ia hanya kesan sementara.
-Hembus hidung, kumur mulut & elakkan daripada menelan. “JANGAN SAPU MUKA”
-Sekiranya gas pemedih mata dilepaskan, cuba elak daripada mengikut arah angin.
-Sila dapatkan bantuan sukarelawan ‘Pasukan Perubatan’ yang berada di sekitar kawasan perhimpunan dengan segera sekiranya anda memerlukan bantuan perubatan.
-Jika anda seorang pengamal perubatan, bantuan anda kepada yang memerlukan amat dihargai.

* Maklumat ini sekadar panduan kepada peserta. Ia hanya maklumat umum, dan tidak sepatutnya menafikan pandangan pakar perubatan yang merawat anda, atau pakar perubatan yang lain.

*Segala risiko kesihatan yang mungkin berlaku semasa perhimpunan adalah atas tanggungjawab anda sendiri.
- Sekritariat HKR

*Selamat berhimpun..semoga segalanya berjalan dengan lancar..siapa2 yang cuba membuat kacau sila tangkap.mungkin ada pihak yang ingin mengangu perhimpunan aman ini...ingat!! perhimpunan ini bukan untuk buat huru hara..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...