Jurufoto profesional, Saiful Nang kesal kerana dituduh menyebarkan
foto-foto praperkahwinan Liyana Jasmay di internet sehingga mendapat
reaksi negatif dalam kalangan peminat pelakon dan pengacara itu.
Saiful yang merupakan jurugambar praperkahwinan artis tersebut
berkata, tindakan ibu Liyana, Datin Habsah Simpon yang menyalahkan
pihaknya, CandidSyndrome International sehingga foto-foto tersebut
tersebar adalah tidak wajar.
Katanya, sebagai jurufoto profesional, pihaknya tidak pernah
bersetuju untuk memberikan hak eksklusif kepada mana-mana penerbitan
untuk menyiarkan foto praperkahwinan tersebut.
"Hak foto adalah milik jurufoto, selagi ia tidak dipindah hak dengan
pembayaran atau klausa tertentu yang dipersetujui secara bertulis.
"Selagi itulah kami (CandidSyndrome International) berkongsi hak
kerana kami menaja dan sebab itulah kami tidak setuju dengan hak
eksklusif yang diberikan kepada sebuah penerbitan tanpa ada pulangan
pelaburan," katanya dalam laman sosial Facebooknya.
Beliau mengulas kenyataan Habsah dalam sebuah media tempatan
baru-baru ini yang mendakwa CandidSyndrome International menjadi punca
tersebarnya foto-foto mesra Liyana dan bakal suami, Fathudin Mazlan di
internet.
Pasangan tersebut akan diijabkabulkan pada 2 Februari ini.Saiful berkata, perkara tersebut tidak akan berlaku jika sejak dari awal lagi keluarga Liyana berurusan terus dengan pihaknya.[utusan]