Luluh hati sepasang suami isteri orang kurang upaya
(OKU) apabila melihat bayi sulung mereka yang sihat ketika dilahirkan
kini menderita tangan kanan bengkak dipercayai akibat tersalah suntikan
ketika dirawat di sebuah hospital.
Semalam, Muhammad Syafiq yang baru berusia 22 hari itu masih
ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ampuan Najihah
Kuala Pilah selepas menjalani pembedahan membuang daging hampir busuk
yang membengkak di tangannya.
Bapanya, Hamzah Hamid, 44, berkata, pada mulanya bayinya yang ketika itu berusia sembilan hari dihantar ke Klinik Kesihatan Lui Muda di Jempol, dekat sini, pada 27 Disember lalu akibat demam.
Katanya, dia bersama isteri, Zunita Zuhaimi, 28, dengan pertolongan
keluarga mentua, membawa Muhammad Syafiq ke klinik kesihatan itu, namun
kes dirujuk di Hospital Jempol.
“Pihak klinik merujuk kes anak saya ke Hospital Jempol sebab suhu badannya terlalu panas. Doktor di hospital menempatkan anak saya ke dalam wad.
“Tetapi, empat hari kemudian ketika mahu mengambil anak untuk dibawa ke rumah, saya terkejut mendapati tangannya berbalut. Sebaik dibuka balutan itu, saya dan isteri amat sedih melihat tangan anak kami membengkak,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah, di sini, semalam.
Tidak puas hati dengan keadaan bayinya, Hamzah sekeluarga mendesak
pihak hospital menjelaskan perkara sebenar sebelum diberitahu
jururawat tersalah cucuk ubat.
Menurutnya, pada Sabtu lalu Muhammad Syafiq dipindahkan dari Hospital Jempol ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah sebelum malam kelmarin untuk menjalani pembedahan.
Sehubungan kejadian itu, Hamzah membuat laporan di Balai Polis
Bandar Sri Jempol untuk tindakan selanjutnya dan Ketua Polis Daerah,
Superintendan Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima
laporan.Hamzah berkata, keluarganya juga bercadang membawa kes itu ke mahkamah.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Datuk Dr Zailan Adnan berkata, pihaknya menubuhkan Lembaga Siasatan Perubatan yang dianggotai pakar perubatan pelbagai bidang, tetapi bukan terbabit secara langsung dengan kes pesakit itu untuk membuat siasatan telus. “Semua yang terbabit dengan rawatan pesakit berkenaan akan diambil keterangan bagi membantu siasatan dalaman berhubung kes itu.
Tindakan selanjutnya
ialah dengan memanggil keluarga pesakit selepas laporan lengkap
dikeluarkan untuk menerangkan sama ada kes berkenaan adalah kecuaian
atau komplikasi.“Laporan juga akan dihantar kepada Kementerian Kesihatan, kelak,” katanya.[metro]