Seorang lelaki Amerika Syarikat (AS), Janos Soltesz yang 'kehilangan'
isterinya pada tahun lalu selepas tiga syarikat penerbangan enggan
membawa isterinya itu dari Eropah ke AS, bertindak menyaman
syarikat-syarikat terbabit berjumlah AS$6 juta (RM18 juta), semalam.
Syarikat-syarikat penerbangan itu enggan membawa isteri plaintif,
Vilma Soltesz kerana wanita itu mempunyai berat badan yang berlebihan,
menurut saman yang difailkan lelaki itu di Mahkamah Persekutuan di
Manhattan.
Ketika kejadian itu, Soltesz dilaporkan mempunyai berat badan
sebanyak 193 kilogram, selain berkerusi roda dan menghidap penyakit
diabetis serta buah pinggang.
Soltesz ditemui meninggal dunia di kediaman percutian mereka di Hungary pada Oktober 24 Oktober lalu.Menurut saman yang difailkan, ketiga-tiga syarikat penerbangan itu menyebabkan kematian dan melakukan kecuaian melampau.
Pasangan itu meninggalkan rumah mereka di Bronx pada September lalu
untuk bercuti di Hungary dengan menaiki pesawat Delta Air Lines dengan
Vilma diberikan dua tempat duduk.
Namun, pada 2 Oktober lalu, Soltesz terpaksa dirawat di hospital
Hungary selepas jatuh sakit, tetapi dibenarkan keluar hospital dan
menaiki pesawat dengan syarat dia haruslah berjumpa doktor sejurus
selepas tiba, menurut tuntutan saman tersebut.
Dua minggu selepas itu, pasangan tersebut cuba meninggalkan negara
itu menggunakan kaedah sama seperti mereka pergi ke negara ini sebelum
ini, tetapi penerbangan KLM Royal Dutch Airlines, Delta dan Lufthansa
menolaknya dengan memberi alasan tertentu.
Selepas beberapa minggu mencuba, mereka masih gagal dan Soltesz yang
keletihan dan sakit akhirnya hanya terbaring di atas katil di rumah
percutian mereka di Veszprem sehinggalah dia ditemui meninggal dunia
oleh suaminya pada 24 Oktober lalu.[utusan]