Tujuh anggota bomba bergegas menyelamatkan seekor tupai dalam satu operasi bernilai enam ribu pound (RM29,000).
Anggota bomba tiba di tempat kejadian dengan tiga jentera bomba
selepas seorang penduduk melaporkan haiwan itu terperangkap dalam lalang
di tengah kolam.
Mereka membuat laluan ke tebing tasik menggunakan dua
tangga dengan seorang anggota bomba masuk ke dalam air memujuk tupai
yang ketakutan itu. Haiwan itu kemudian merapati “jambatan” sementara
sebelum berlari menaiki anak tangga dan melompat ke tempat selamat.
Balai Bomba dan Penyelamat Herts, semalam mengesahkan insiden di Watford High Street itu. Jurucakapnya berkata: “Tiga jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian di mana seekor tupai terperangkap.”
Bagaimanapun, ahli
Parlimen tempatan dari parti Konservatif, Richard Harrington mengkritik
operasi menyelamat yang mengarut itu.
Harrington berkata: “Balai Bomba dan Penyelamat Herts melakukan tugas
yang hebat - bagaimanapun, ia seolah-olah tindakan yang berlebihan dan
membazir.
“Tidak pasti mengapa terlalu banyak jentera bomba dan anggota bomba yang dihantar ke tempat kejadian. “Persoalan yang serius perlu dijawab jika tindakan itu akan menyebabkan panggilan lebih serius lain tidak dapat dipenuhi,” katanya.
Kaunselor daerah Herts, Steven Giles-Medhurst berkata: “Mereka biasanya menghantar tiga jentera bomba untuk kes melibatkan kemalangan jiwa.“Ia keterlaluan bagi seekor tupai, tetapi mungkin soalan perlu dikemukakan,” katanya.
Kos untuk menghantar sebuah jentera bomba bagi menangani panggilan palsu dianggarkan kerajaan bernilai 1,970 pound (RM9,600) pada 2008. Ia menyebabkan kos menyelamatkan tupai di daerah itu bernilai RM29,000. Haiwan berkenaan terperangkap kerana ia tidak dapat melompat menaiki tembok konkrit di kolam itu.
Pada Mac 2011 anggota bomba di Gosport, Hants, enggan memasuki tasik
sedalam tiga kaki di mana seorang lelaki jatuh selepas mengalami
serangan epilepsi. Peraturan keselamatan menggariskan mereka tidak
boleh memasuki air lebih dalam daripada separuh paras but kecuali
situasi mengancam keselamatan nyawa. Mereka percaya lelaki terbabit
sudah mati.[metro]
*Alamak aiii kerja macam ni tak payah guna bomba pun boleh....