Kali pertama melihat imbasan dalam rahimnya, si ibu ternampak dua
janin saling berpegangan tangan dan pasangan kembar itu mungkin tidak
mempunyai harapan untuk hidup.
Doktor memberitahu Angie Benhaffaf bahawa ada kemungkinan seorang
daripada anaknya akan selamat, tetapi seorang lagi akan meninggal dunia
tidak lama kemudian.
Berdepan dengan kenyataan itu, Angie terpaksa menyediakan mentalnya untuk mengebumikan seorang daripada anaknya.
Kini, selepas pembedahan yang berjaya memisahkan mereka, anak
kesayangan Angie itu membuktikan mereka sebenarnya ‘tidak boleh
dipisahkan.’ Selepas tiga tahun lahir, keakraban antara Hassan dan
Hussein begitu kukuh sehinggakan mereka tetap berpegangan tangan ketika
tidur - sama seperti ketika mereka belum dipisahkan melalui pembedahan.
Malah, jika duduk bersama, keadaan mereka juga sama seperti ketika
mereka bercantum dari dada hingga ke tulang punggung. Di sebalik
keadaan itu, Hassan dan Hussein memang tidak banyak berbeza berbanding
kanak-kanak normal lain.
Kata Angie, 38, kembar itu sentiasa aktif bermain dan lasak. “Nampaknya ada persaingan antara Hassan dan Hussein,” katanya.
Ketika ini, pasangan kembar itu cuba berjalan menggunakan kaki palsu yang baru dipasang pada mereka.“Memerhati mereka sangat mengasyikkan,” katanya.
Keadaan fizikal Hassan dan Hussein menyebabkan setiap seorang daripada mereka menggunakan satu kaki palsu.
Kata Angie, percantuman anaknya bermakna mereka berkongsi hampir
segala-galanya, termasuk organ hati dan urat saraf di sekeliling
jantung.
Walaupun berisiko tinggi, pakar bedah berjaya memisahkan mereka tanpa menyebabkan sebarang kesan mengancam nyawa.
Angie melahirkan Hassan dan Hussein hasil perkahwinannya dengan lelaki kelahiran Algeria, Azzedine.[metro]