ituini. Dikuasakan oleh Blogger.

Isnin, 4 Mac 2013

Tentera Malaysia akan lancarkan serangan besar-besaran

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka melancarkan serangan besar-besaran dalam masa 24 jam bagi menamatkan pencerobohan tentera Kesultanan Sulu di beberapa daerah di Sabah.
 
Difahamkan kawasan yang menjadi fokus utama serangan adalah Kampung Tanduo, Lahad Datu di mana ketua penceroboh, Raja Muda Azzumudie iaitu adik kepada Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram III bersama lebih 100 pengikutnya berkubu.

Ketika ini, anggota penembak tepat Tentera Darat ditempatkan di beberapa lokasi strategik dan Utusan Malaysia difahamkan, tiada lagi sebarang rundingan bakal dibuat sebaliknya misi kali ini adalah menumpaskan ke semua musuh.

Langkah itu diambil berikutan perkembangan terkini insiden pencerobohan berdarah di beberapa kawasan di pantai timur Sabah yang menyaksikan enam lagi anggota polis dibunuh menjadi keseluruhan yang maut lapan orang.

Dalam satu pertempuran di Kampung Sri Jaya, Simunul malam semalam, enam anggota polis yang ditugaskan ke kampung tersebut sebaik menerima maklumat mengenai kumpulan penceroboh maut selepas diserang hendap.

Lebih zalim, seorang anggota polis yang terperangkap ketika serangan hendap tersebut dipenggal kepalanya oleh tentera Kesultanan Sulu selepas ditawan tetapi identiti mangsa belum dapat disahkan.

Seorang lagi mangsa iaitu Ketua Cawangan Khas Daerah (KCKD) yang berpangkat Asisten Supritendan maut selepas perut dirodok menggunakan senjata tajam dipercayai parang menyebabkan ususnya terburai.

Baki empat lagi anggota yang terbunuh dalam kejadian itu maut ditembak menggunakan raifal M16 dan AK-47 dengan salah seorang mangsa dikenal pasti Supritendan Ibrahim Lebar, iaitu dari Unit Risik (E1) Cawangan Khas Bukit Aman.

Ketika kejadian 57 anggota PGA, Unit Cawangan Khas Bukit Aman serta Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna memasuki Kampung Sri Jaya sebelum diserang secara mengejut tetapi sempat membalas menyebabkan enam musuh terbunuh.

Bagaimanapun kesemua anggota keselamatan negara yang maut hanya dapat dibawa keluar dari kawasan pertempuran kira-kira pukul 7 malam tadi selepas sepasukan anggota komando polis VAT 69 melancarkan operasi.

Selain anggota keselamatan dan pihak penceroboh, pertempuran malam tadi turut mencederakan seorang penduduk kampung, Seha Ghani yang terkena peluru sesat tetapi mangsa dilaporkan stabil.

Pada masa sama, status mengenai 15 hingga 17 anggota keselamatan gagal dikesan selepas serangan malam tadi yang pada mulanya dilapor ditawan terjawab apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan mereka selamat.

Dalam pada itu, sumber ATM mengesahkan seluruh ketumbukan anggota tentera yang terlibat dalam operasi tersebut kini berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya dan hanya menunggu arahan untuk melakukan serangan.

"Ketika ini tentera sudah mengambil alih dan akan mengetuai operasi bagi menamatkan segera pencerobohan ini. Misi kita adalah menumpaskan musuh dan bukan berunding," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Di KOTA BHARU, seramai 19 pegawai dan 323 anggota dari 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem 8 Briged Pengkalan Chepa berlepas ke Semporna bagi menggempur tentera Kesultanan Sulu.

Kesemua anggota terbabit diterbangkan terus dari Lapangan Terbang Ismail Petra Pengkalan Chepa kira-kira pukul 2 petang menggunakan penerbangan khas bagi memperkukuh dan menambah kekuatan pertahanan negara.[utusan]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...