JASA DAN PENGORBANANMU DIKENANG:
Barisan perwira yang gugur dalam mempertahankan keamanan dan keselamatan negara.
Allahyarham Supt Ibrahim bin Lebar, 52 tahun berasal dari Besut,
Terengganu dan bertugas di Cawangan Khas Bukit Aman. Berkelulusan Ijazah
Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia, Kubang
Kerian, beliau meninggalkan seorang balu Puan Rosiah bt Dahlan, 52 dan 3
orang anak masing-masing berusia 22, 20 dan 17 tahun. Jenazah dijangka
akan dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 20, Subang Jaya pada jam 9.00
malam ini.
Mendiang ASP Michael Padel, 36 tahun berketurunan
Bidayuh dan berasal dari Serian, Sarawak. Bertugas di Cawangan Khas IPD
Semporna dan meninggalkan seorang balu Puan Jabah a/p Mingku serta
seorang anak lelaki berusia 1 tahun. Jenazah mendiang akan dibawa pulang
ke Kg Bidayuh, Tebakang, Serian untuk disemadikan.
Allahyarham
Sarjan Baharin bin Hamit, 49 tahun berasal dari Alor Gajah, Melaka dan
bertugas di Cawangan Khas IPK Sabah. Beliau meninggalkan seorang balu,
Puan Sumati binti Suarah, 50 tahun dan dua orang anak berusia 16 dan 11
tahun. Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Nur Islam IPK Sabah dan
akan dikebumikan di Jalan Tuaran, Kota Kinabalu pada jam lebih kurang
3.00 petang ini.
Allahyarham Sarjan Aziz bin Sarikon, 52 tahun
bertugas di PGA Batalion 14 Semporna, Sabah. Beliau meninggalkan seorang
balu, Sitti Banddorah Bt Mahalil, 39 dan 4 orang anak, 2 lelaki dan 2
perempuan yang masing-masing berusia 18, 15, 12 dan 7 tahun. Jenazah
Allahyarham akan disembahyangkan di IPD Semporna untuk dikebumikan.
Allahyarham L/Kpl Mohd Azrul bin Tukiran, 27 tahun berasal dari Klang,
Selangor dan bertugas di Batalion 14, PGA Tawau. Beliau yang masih
bujang merupakan anak keenam daripada tujuh adik beradik. Jenazahnya
akan dibawa pulang ke rumah ibu bapanya di Jalan Teluk Kapas, Kampung
Rantau Panjang, Klang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan
Shapadu, Kg Panjang, Klang.
Allahyarham Kpl/S Salam bin
Togiran, 42 tahun berasal dari Sandakan, Sabah dan bertugas di IPD
Tawau. Beliau meninggalkan seorang balu, Puan Marlinah binti Utan dan 4
orang anak berusia 16, 13, 11 dan 1 tahun. Jenazah telah dikebumikan di
Tanah Perkuburan Islam Batu 15, Jalan Apas, Tawau.
Pemergian
perwira-perwira negara ini akan dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia.
Jasamu, baktimu, pengorbananmu akan teguh di sanubari rakan seperjuangan
dan menjadi azimat untuk terus berbakti kepada agama, bangsa dan
negara.
sumber KELAB PENYOKONG POLIS DIRAJA MALAYSIA
*Al Fatihah