Jurucakap Sultan Sulu, Jamalul Kiram III menegaskan bahawa 'tentera
diraja' yang memasuki Sabah akan berjuang hingga ke hujung nyawa dan
tidak sesekali meninggalkan negeri tersebut.
"Kami telah membuat keputusan bahawa maruah lebih utama daripada
nyawa," kata jurucakap berkenaan, Abraham Idjirani di sini semalam.
Menurutnya, konfrontasi kumpulan mereka dengan pasukan keselamatan
Malaysia di Sabah masih belum berakhir dan menolak kenyataan sebaliknya
oleh pemerintah Filipina sebelum ini.
Namun, Idjirani mengesahkan tiada pertempuran antara baharu berlaku antara kedua-dua belah pihak sejak pukul 8 malam kelmarin.
Dalam insiden kelmarin, seramai 12 warga Filipina dan dua komando
polis Malaysia terbunuh dalam pertempuran pasukan komando polis dengan
sekitar 200 anggota kumpulan itu yang diketuai Raja Muda Agbimuddin
Kiram.
Mengulas mengenai nasib Agbimuddin, Idjirani berkata, raja muda itu
telah berpindah ke lokasi lain untuk meneruskan perjuangan mereka.
"Jika konfrontasi ini berakhir, ia bermakna sama ada Raja Muda dan pengikut-pengikutnya dibunuh atau ditangkap," ujarnya.
Kumpulan bersenjata itu menyeludup masuk ke sebuah kampung di Lahad
Datu, Sabah sekitar tiga minggu lalu untuk menuntut hak ke atas negeri
Sabah.
Dalam pada itu, anak perempuan Kiram III, Jacel Kiram semalam turut
menggesa saudara lelakinya itu supaya terus berjuang hingga ke titisan
darah terakhir.
"Keputusan kami tetap sama. Mereka tidak akan pulang kerana maruah
lebih tinggi nilainya daripada nyawa," kata Jacel dalam satu kenyataan
semalam.
"Saki baki 224 pengikut Sultan Sulu di Sabah memutuskan untuk mati di
Lahad Datu bagi mengejar impian dan aspirasi mereka," tegasnya.
Menurut wanita tersebut, selepas sembilan pengikut lelaki dan seorang
wanita dikebumikan, semua 224 anggota kumpulan mereka yang masih
tinggal memutuskan untuk menyerahkan nasib kepada takdir.[kosmo]