ituini. Dikuasakan oleh Blogger.

Isnin, 4 Mac 2013

Penceroboh guna taktik serang dan lari

Taktik serang dan lari dikesan digunakan sekumpulan penceroboh dipercayai bagi mengelirukan pihak keselamatan yang ditugaskan menjaga kawasan di Lahad Datu dan Semporna, Sabah. 

Difahamkan, serang ala gerila itu dilakukan kumpulan terbabit bagi memudahkan pergerakan mereka disebabkan kekurangan ahli kumpulan. 

Sekiranya berjaya dalam pertempuran itu, mereka menawannya (kawasan) sebaliknya melarikan diri ke perkampungan berhampiran sekiranya serangan mereka itu gagal sebelum melakukan serang hendap baru. 

Kumpulan yang bergerak dalam bilangan kecil terdiri daripada 15 hingga 30 ahli lengkap bersenjata api itu dilaporkan mempunyai perancangan terperinci serta memahami selok-belok demografi kawasan berkenaan. 

Malah, sokongan daripada segelintir masyarakat Sulu yang sudah menetap di kawasan berkenaan juga mendatangkan kesukaran daripada pihak berkuasa dalam membanteras pergerakan terancang kumpulan penceroboh terbabit. 

Menurut sumber dalaman Polis DiRaja Malaysia (PDRM), kumpulan terbabit menggunakan taktikal serangan ala gerila bagi menimbulkan keresahan penduduk setempat untuk memudahkan pergerakan mereka selain dipercayai bagi mengelirukan pihak berkuasa. 

“Mereka (kumpulan penceroboh) sememangnya sudah terlatih...sejak kecil pegang senjata dan meneruskan serangan selagi termampu bagi mendapatkan apa saja yang dikehendaki. Apatah lagi mereka (kumpulan penceroboh) kini berada dalam keadaan terdesak. 

“Malah, serangan terbaru jam 8 malam tadi (kelmarin) di kawasan Sri Jaya Simunul, Semporna, Sabah membuktikan mereka mengamalkan taktikal serangan ala gerila itu,” katanya memberitahu, PDRM sudah menjangkakan taktik serangan seumpama itu dipraktikkan kumpulan penceroboh. 

Sumber berkata, kumpulan penceroboh dilaporkan mengepung kawasan perkampungan itu. Katanya, dalam insiden berkenaan, enam anggota keselamatan disahkan meninggal dunia. 

 “Kumpulan terbabit terus melakukan serangan ala gerila...serang dan lari. Tindak balas berkenaan dilaporkan sebagai ‘balas dendam’ kepada kematian 12 ahli kumpulan mereka yang maut dalam kejadian berbalas tembakan di Felda Sahabat 17, Lahad Datu, Jumaat lalu,” katanya. 

Menurutnya, kumpulan penceroboh itu juga dilaporkan mendapat tambahan kekuatan berikutan kemasukan ahli mereka yang baru mendarat di kawasan perairan berhampiran selain sokonganmasyarakat Sulu di kawasan berkenaan.[metro]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...