Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sekali lagi menegaskan
keadaan keselamatan di Kunak, Sandakan dan Semporna adalah terkawal.
Beliau turut menafikan khabar angin mengenai huru-hara berlaku di Kunak, Sandakan dan Semporna."Sehingga kini keadaan keselamatan masih terkawal dan tiada keadaan
huru-hara seperti digembar-gemburkan dalam media sosial," katanya pada
sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri
Zulkifeli Mohd Zin di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tahap keselamatan di
Sabah setelah 21 hari insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di
Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari bandar Lahad Datu.
Ismail berkata, polis akan menjalankan siasatan dan mengambil
tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan khabar
angin yang boleh mencetuskan kekeliruan orang ramai.
"Kami sedang memikirkan aspek perundangan untuk ambil tindakan terhadap mereka (yang menyebarkan maklumat palsu)," katanya.
Beliau berkata, polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini
bekerjasama erat bagi memastikan keadaan keselamatan di Sabah aman dan
terkawal.
Sementara itu, Zulkifeli berkata, pihaknya menggerakkan anggota
tambahan bagi membantu polis mengawal keselamatan di kawasan pantai
Timur negeri ini.
"Kami akan membantu polis untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan Sabah," katanya.[utusan]