Sebuah syarikat kenderaan mewah kerugian lebih RM900,000 setelah 
sebuah daripada kereta mewah yang dipamerkan di bilik pameran di Jalan 
Bukit Bintang di sini dilarikan pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata kereta 
jenis Porsche Panamera berwarna emas itu dilarikan pada kira-kira 9 pagi
 oleh seorang lelaki yang sebelum itu berpura-pura untuk berjumpa 
seorang kakitangan di bilik pameran tersebut.
"Setelah itu, lelaki berpakaian kemas dan bertopi itu kemudiannya 
naik ke tingkat satu dan menggeledah meja sebelum menemui sampul sampul 
surat yang mengandungi kunci kereta berkenaan.
"Suspek kemudiannya turun dan keluar dari ruang pameran sambil 
menekan kunci bagi mengesan lokasi dan setelah menjumpai kereta itu dia 
terus memecut menuju ke arah Bukit Bintang," katanya pada sidang media 
di sini hari ini.
Beliau berkata kereta yang belum didaftarkan itu diletakkan di luar 
ruang pameran bersama enam lagi kenderaan lain untuk dihantar ke satu 
lagi pusat pameran di Glenmarie, Shah Alam, Selangor.
Berikutan itu, polis sedang mencari Mohd Azri Mohd Kassim, 31, 
beralamat terakhir di 1801-C1, Blok C, Armanee Condominium, Damansara 
Perdana dekat sini bagi membantu siasatan.
Pemuda itu mempunyai rekod jenayah lampau antaranya tiga kes curi 
kereta dan dua kes samun dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun 
Keseksaan iaitu curi kenderaan, katanya.[utusan]

