Remaja yang bermain permainan video berunsur 
ganas untuk tempoh beberapa tahun, didapati cenderung berkelakuan ganas 
terhadap orang lain, menurut satu kajian terbaru.
Penyelidik berkata, kajian itu adalah yang pertama menunjukkan kaitan
 jelas antara tempoh permainan video berunsur ganas secara berterusan 
dengan peningkatan kelakuan ganas.
Kanak-kanak perempuan yang bermain permainan komputer berunsur ganas 
semasa zaman persekolahan mereka juga didapati turut sama cenderung 
berkelakuan ganas seperti kanak-kanak lelaki.
Pasukan penyelidikan dari Universiti Brock di Kanada berkata, keputusan kajian itu agak 'membimbangkan'.
Pada masa yang sama, keputusan itu mengukuhkan lagi tanggapan bahawa 
permainan ganas dipercayai mewujudkan perbuatan ganas yang didapati 
sesuai untuk menangani konflik dan kemarahan.
Bukti menunjukkan bahawa mereka yang telah lama bermain permainan 
video berunsur ganas cenderung untuk bertindak balas secara ganas 
terhadap provokasi yang tidak disengajakan seperti terlanggar orang.
Hasil kajian itu dibuat setelah seorang koroner di sini, menggesa ibu
 bapa supaya menghentikan tabiat membenarkan permainan video yang biasa 
digunakan oleh golongan dewasa terhadap anak-anak mereka.
Desakan itu dibuat ekoran kematian Callum Green, 14, dari Stockport yang membunuh dirinya selepas bermain permainan video, Call of Duty yang memaparkan adegan ngeri iaitu tentera saling berbunuhan antara satu sama lain.
Malah, pelampau Kristian, Anders Behring Breivik yang membunuh 77 
orang di Norway sebelum ini mendakwa dia telah bermain permainan Call of Duty bagi melatihnya untuk melakukan serangan berdarah itu.[utusan]

