ituini. Dikuasakan oleh Blogger.

Isnin, 15 Oktober 2012

Budak 2 tahun maut dihempap TV

“Haris memang suka bermain laci pakaian di almari televisyen itu, tapi tak sangka di situ juga tempat dia menemui ajal,” kata ibunya, Nor Azlin Mohd Ali.

Haris Hariz Khairil Anuar (gambar), yang berumur dua tahun, maut dihempap televisyen berukuran 29 inci, di bilik utama rumah teres dua tingkat, di Taman Ampang Saujana, di sini, petang semalam. 

Nor Azlin, 31, seorang peniaga berkata beliau, suami serta dua lagi anak berusia lima dan lapan tahun sedang berehat di bilik berkenaan apabila dikejutkan dentuman kuat diikuti tangisan anak bongsunya itu.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, Haris disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital selepas doktor sebuah klinik di Lembah Jaya, disini tidak dapat merawat kecederaannya.

“Haris sedang bermain sorong tarik laci pakaian di almari setinggi satu meter itu, sebelum kami sekeluarga dikejutkan bunyi dentuman kuat apabila televisyen jatuh menghempapnya.

Terkejut dengan bunyi itu, kami segera mendapatkan Haris yang menangis seketika dan kemudian senyap. Kami dapati darah keluar melalui hidung, mulut dan telinganya, katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Ampang.

Nor Azlin berkata, melihatkan Haris yang sukar bernafas, beliau dan suami, Khairil Anwar Mohamed, 36, seorang Inspektor Kesihatan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membawanya ke klinik berdekatan bagi mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, doktor meminta kami merujuk Haris ke hospital kerana keadaannya yang serius dan teruk berdarah, katanya.

Walaupun bersedih dengan kejadian, Nor Azlin sempat menasihatkan ibu bapa supaya tidak meletakkan barangan berat seperti televisyen di tempat tinggi bagi mengelak kejadian seumpama itu.

Jenazah Haris yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya pada 5 Oktober lalu, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Teratai, Ampang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang, Superintendan Nazri Nawawi, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.[b.harian]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...