Impian orang awam untuk melihat polis robot seperti dalam filem
terkenal Robocop, yang ditugaskan memerangi jenayah bakal menjadi
kenyataan tidak lama lagi selepas pasukan penyelidik dari Amerika
Syarikat (AS) dilaporkan sedang mencipta robot yang dikenali sebagai
PatrolBot.
Laman web sains dan teknologi, Gizmag.com melaporkan, teknologi yang
terdapat pada PatrolBot membolehkan anggota polis dan tentera yang
mengalami kecederaan parah dapat bertugas semula seperti biasa.
Ini kerana Patrolbot dipasang untuk menggantikan mana-mana anggota
tangan atau kaki anggota polis atau tentera yang hilang ketika mereka
menjalankan tugas.
Teknologi terbaru itu dibuat berdasarkan kemajuan yang dicapai
tentera AS dalam bidang telerobotik yang membolehkan pengguna
disambungkan dengan wayar mengawal robot dan bertindak balas mengikut
simulasi paparan.
Anggota keselamatan yang cedera akan menggunakan kamera dan sensor
pada PatrolBot yang disambung kepada anggota dan tubuh mereka.
Mereka akan melihat menggunakan topi keledar realiti maya yang akan membuat ia kelihatan seperti mengintip melalui mata robot.
Lakaran awal telah disediakan oleh Universiti Antarabangsa Florida
(FIU) dalam satu pertunjukan yang menampilkan Robocop android beroda
dengan pakaian perisai perak.
Dengan pembangunan teknologi sedemikian, pasukan penyelidik AS
berharap dapat menggunakan robot terbabit bagi mengawal kawasan awam
yang mempunyai kadar jenayah tinggi dan mengawasi kawasan sensitif
seperti pelabuhan dan kemudahan nuklear.
Idea penciptaan PatrolBot itu dikemukakan oleh, Leftenan Komander
Tentera Laut Simpanan AS, Jeremy Robbins dengan kerjasama penyelidik
dari FIU, Profesor Nagarajan Prabakar.
Menurut Robbins, teknologi terbaru itu akan memberi peluang kepada
anggota tentera dan polis yang hilang keupayaan untuk terus berkhidmat
bersama pihak keselamatan.
PatrolBot juga boleh berinteraksi dengan masyarakat, mengawal,
bertindak balas terhadap panggilan kecemasan dan mengeluarkan saman,"
katanya.[utusan]