Seorang wanita Bhopal, India bakal ‘mencabar’ maklumat Buku Rekod
Dunia Guinness apabila mendakwa dia adalah wanita kerdil tertua di
dunia.
Mengaku berusia 113 tahun, Zeenat Bi berkata, dia masih ingat suasana
India ketika ditadbir Inggeris dan keluarga bangsawan berpengaruh besar
dalam kehidupan seharian.
Menurut wanita setinggi 91 sentimeter itu, dia melihat bagaimana Bhopal dipenuhi hutan tebal ketika zaman Inggeris bertukar wajah dari semasa ke semasa.
“Pada satu
ketika, Inggeris membawa roti mereka untuk kali pertama dan penduduk
setempat begitu teruja melihatnya,” katanya. Jika dakwaan Zeenat itu
benar, bermakna dia dilahirkan ketika British ditadbir Ratu Victoria
(meninggal dunia pada 22 Januari 1901) yang menggunakan gelaran Maharani
India.
Rekod wanita kerdil tertua diiktiraf Buku Rekod Guinness ketika
ini ialah Deforest Mason, 74. Tidak pernah berkahwin, Zeenat kini
hidup dengan pencen kerajaan bernilai 272 rupee (RM15.55) sebulan dan
menumpang di rumah seorang lelaki tempatan, Abrar Muhammad Khan, sejak
20 tahun lalu.
Kata Zeenat, satu-satunya harta yang ada padanya ialah katil kecil dihadiahkan bekas Ketua Menteri Bhopal, Uma Bharti.
“Dia juga pernah menghantar bantuan 2,500 rupee (RM 141) setiap bulan tetapi kini kerajaan tidak mempedulikan saya,” katanya.
Menurut Zeenat, dia mempunyai beberapa hajat sebelum meninggal dunia.Antaranya, kata Zeenat, dia mahu bertemu bintang Bollywood, Salman Khan.
“Saya juga mahu mengerjakan haji, tetapi ia terlalu mahal dan tiada sesiapa dapat menemankan saya,” katanya.[metro]