Suami keluar mencari rezeki, isteri pula bermain cinta dengan lelaki
lain.Itulah nasib seorang kontraktor yang terkedu apabila mendapati
isterinya menjalin hubungan sulit ketika dia bekerja.
Lebih mengecewakan, suami tersebut berjaya menghidu kecurangan
isterinya apabila terdengar wanita itu bergurau senda dengan 'kekasih
gelapnya' di pangsapuri mereka di Ayer Keroh di sini Ahad lalu.
Suami malang itu yang hanya mahu dikenali sebagai Salman, 36,
berkata, geram dengan kejadian berkenaan, dia bergegas ke ke pejabat
Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan meminta penguat kuasa jabatan itu
menangkap isterinya dan lelaki terbabit.
Cerita Salman, semuanya terbongkar apabila dia yang tertinggal
pengecas bateri telefon bimbit, berpatah balik ke rumahnya pada pukul 10
malam untuk mengambil alat tersebut.
Salman yang keluar bekerja pukul 8 pagi hari yang sama sempat
memberitahu isterinya yang berusia 24 tahun itu bahawa dia akan pulang
lewat kerana bertugas di luar kawasan.
"Apabila tiba di rumah, saya terperanjat apabila terdengar suara
isteri saya ketawa bersama seorang lelaki seolah-olah sedang bermesra,"
katanya di sini semalam.[kosmo]