Seorang guru prasekolah didapati mendera muridnya dengan menampar serta menendang mereka berkali-kali.
Perbuatan kejam itu terbongkar selepas aksi guru terbabit dirakam
kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebuah pusat pendidikan di
Taiyuan, utara Shanxi.
Melalui rakaman video selama 30 minit itu, guru terbabit dilihat menampar empat muridnya lebih 120 kali apabila mereka gagal menjawab soalan diberi.
Insiden itu disiasat
selepas seorang daripada bapa murid terbabit - cuma dikenali sebagai Han
kehairanan apabila muka anak perempuannya merah dan bengkak.
Media
semalam melaporkan, Han pergi bertemu pentadbiran prasekolah berkenaan
dan menuntut untuk melihat rakaman CCTV di situ.
Menurut Han, melalui rakaman berkenaan, dia melihat anaknya serta tiga kanak-kanak lain menjadi mangsa dera seorang guru.
“Dalam tempoh setengah jam, guru wanita terbabit menampar anak saya 43 kali, selain menendangnya dua kali,” katanya.
Mengenai tiga kanak-kanak lain,
Han berkata, mereka masing-masing ditampar 43, 27 dan 10 kali dalam
tempoh sama.
“Wanita itu tidak sepatutnya menjadi guru. Dia bukan
manusia, tetapi jembalang!” katanya. Menurut Han, bukan sekali anak
perempuannya pulang dengan muka merah dan membengkak tetapi menyangka ia
disebabkan kecederaan ketika bermain.
Melalui rakaman itu, Han
berkata, guru matematik terbabit meminta anaknya mencampurkan dua angka
lebih daripada 10.
Apabila anaknya mengaku tidak tahu, guru terbabit menamparnya. Sementara itu, media China melaporkan, guru wanita itu kini dipecat dari sekolah berkenaan.[metro]