Seorang lelaki Islam Bosnia yang berjalan kaki untuk menunaikan ibadah haji di Mekah pada tahun lalu memberitahu agensi berita AFP bahawa dia tiba di kota suci tersebut selepas merentasi tujuh buah negara termasuk Syria yang kini dilanda perang saudara.
"Saya tiba di Mekah pada Sabtu lalu. Saya tidak letih, ini merupakan
hari paling bahagia dalam hidup saya," kata Senad Hadzic menerusi satu
temu bual telefon.
Lelaki berusia 47 tahun itu memberitahu, dia berjalan kaki sejauh
5,700 kilometer (km) selama 314 hari merentasi Bosnia, Serbia, Bulgaria,
Turki, Syria dan Jordan untuk ke Mekah dengan membawa beg sandang
seberat 20 kilogram.
Hadzic memaparkan perjalanan tersebut dalam akaun Facebook miliknya
termasuk gambar dia memperoleh kad masuk dan keluar Syria yang
dikeluarkan oleh kementerian dalam negeri kepada warga asing.
"Saya merentasi Syria pada April lalu. Saya berjalan sekitar 500km
dalam tempoh 11 hari. Saya melintasi bandar raya Aleppo dan Damsyik
serta sejumlah pos kawalan tentera rejim dan pemberontak tetapi saya
tidak pernah ditahan.
"Di sebuah pos kawalan tentera Presiden Bashar Al-Assad, beberapa
askar mengarahkan saya mengosongkan beg sandang saya. Apabila saya
menunjukkan al-Quran dan menyatakan saya berjalan kaki ke Mekah, mereka
melepaskan saya," ujar Senad.
"Saya berjalan kerana Allah, untuk Islam, untuk Bosnia-Herzegovina,
untuk ibu bapa dan saudara perempuan saya," tambah lelaki itu.
Di laman Facebooknya, dia memberitahu, Tuhan telah menunjukkan jalan
ke Mekah dalam mimpinya termasuk menuju ke kota suci itu melalui Syria
dan bukan Iraq.
Semasa perjalanannya, Senad berdepan suhu sejuk antara -35° darjah
Celsius di Bulgaria hingga kepanasan mencecah 44° darjah Celsius di
Jordan.
Menurutnya, dia terpaksa menunggu di Istanbul selama beberapa minggu
untuk mendapatkan kebenaran bagi merentasi Jambatan Bosphorus dengan
berjalan kaki, selain dua bulan di sempadan Jordan dan Arab Saudi bagi
mendapatkan visa untuk mengerjakan ibadah haji.[kosmo]