Dua wanita adik-beradik berdepan masalah apabila mereka mengalami
masalah prosopagnosia (buta wajah) dan tidak dapat membezakan suami
masing-masing.
Prosopagnosia juga menyebabkan Donna Jones dan Victoria Wardley tidak
mampu mengingati wajah masing-masing, selain sentiasa keliru terhadap
wajah anak mereka.
Justeru, Donna dan Victoria terpaksa menghabiskan masa berjam-jam untuk mencari keluarga masing-masing jika mereka terpisah ketika berada di luar rumah.
Menurut Victoria, 32,
masalah dihadapi mereka amat serius sehinggakan mereka juga gagal
mengenali wajah sendiri jika melihat cermin. “Ketika melihat wajah
seseorang, saya berasa seperti melihat melalui terowong.
“Saya boleh melihat mata atau hidung, tetapi apabila saya cuba
melihat keseluruhan wajah, saya gagal mengingati apa-apa seolah-olah
sedang memandang kanvas kosong,” katanya.
Menurut wanita berasal dari
Yorkshire itu, jika bertemu kenalannya di mana-mana, dia terpaksa
berkenalan sekali lagi kerana tidak dapat mengenali wajah mereka.
Victoria disahkan menghidap prosopagnosia beberapa tahun lalu sebelum
masalah sama dikesan pada adiknya, Donna, 30.
Prosopagnosia adalah
kecacatan deria penglihatan seseorang apabila melihat wajah walaupun
kemampuan mereka mengenali objek lain - secara relatif - adalah baik.
Menurut Donna, sebelum itu dia menyangka menghadapi masalah mengenali seseorang kerana kurang memberi perhatian kepada individu yang ditemuinya. “Namun, selepas Victoria memberi tahu masalahnya, saya faham keadaan itu turut menimpa saya,” katanya.[metro]