Satu bancian yang dijalankan di Indonesia mendapati sehingga 80 peratus
penduduk di negara itu mengaku tidak dapat bertoleransi jika terpaksa
berjiran atau bergaul dengan golongan homoseks.
Bancian yang dijalankan Lingkaran Survei Indonesia (LSI) mendapati,
responden juga menegaskan bahawa mereka berasa tidak selesa atau
tenteram jika mempunyai jiran dengan identiti berbeza.
Penyelidik LSI, Noviantoni Kahar berkata, kajian dijalankan selama
seminggu bermula 1 Oktober lalu, membabitkan 1,200 responden dan kaedah
sampel rambang.
Beliau menambah, hasil kajian berkenaan memberi impak membimbangkan
kerana ia boleh mewujudkan persekitaran kurang menyenangkan di dalam
masyarakat yang terpaksa menerima kehadiran golongan itu di kalangan
mereka.
Beliau berkata, ia secara tidak langsung menjelaskan sikap kebanyakan penduduk di republik itu yang rata-rata tidak menerima golongan homoseks.
Kami memberikan tiga kelompok jiran yang mungkin tidak disenangi atau ditolak terus oleh responden, iaitu puak Syiah, Ahmadiyah dan Homoseks. Hasilnya, kami dapati antara 15 hingga 80 peratus responden berkata, mereka tidak selesa jika terpaksa berjiran dengan golongan homoseks, katanya.
Noviantoni berkata 41.8 peratus respondon berkata mereka tidak selesa berjiran dan bergaul dengan penduduk berfahaman Syiah, manakala 54 peratus lagi menyatakan kesediaan untuk menerima puak Syiah di dalam masyarakat mereka.
Sementara itu, 46.6 peratus responden berkata mereka tidak menerima jiran yang berfahaman Ahmadiyah, 48.2 peratus lagi mengaku sanggup menerima golongan ini, manakala 5.2 peratus berkata mereka tidak tahu.
Amat jelas bahawa penolakan terhadap kelompok homoseks adalah yang paling tinggi iaitu 80.6 peratus, dengan hanya 17.1 peratus berkata mereka bersedia menerima jiran daripada golongan ini, katanya.[b.harian]