Kejayaan besar pihak berkuasa Mexico bertukar menjadi insiden
memalukan semalam apabila mayat ketua kartel dadah Zetas yang dibunuh
dicuri daripada rumah mayat.
Heriberto Lazcano yang disifatkan sebagai seorang yang bercita-cita
tinggi dan tidak berperikemanusiaan adalah lelaki kedua paling
dikehendaki di negara itu.
Pembunuhannya adalah kejayaan besar buat
kerajaan yang memerangi kartel dadah ekoran tentera persekutuan dikerah
menumpaskan mereka sejak 2006.
Mayat Lazcano dan seorang lagi lelaki dibawa ke sebuah rumah mayat di bandar Sabinas di utara negeri Coahuila sejurus selepas mereka dibunuh dalam insiden tembakan Ahad lalu antara kumpulan mereka dengan pasukan khas tentera laut.
Namun,
sekumpulan lelaki bersenjata berat memakai topeng kemudian memasuki
rumah mayat itu dan menahan kakitangan di situ, kata pendakwa raya
Coahuila, Homero Ramos di sidang media di Sabinas.
“Mereka mengambil mayat berkenaan, memasukkannya ke dalam kereta mayat dan mengarahkan pemandunya segera beredar,” kata Ramos.
Tentera laut Mexico yang menjalankan operasi menentang ketua Zetas itu berkata, cap jari dan foto digunakan untuk mengenal pasti mayat itu sebagai Lazcano sebelum ia dicuri.[metro]