Seorang lelaki berusia 30-an semalam membuat pengakuan dalam program
televisyen This Morning mengenai ketagihannya mengambil pil Viagra sejak
10 tahun lalu meskipun tidak pernah ada masalah rangsangan dan kini
mahu mengurangkan pengambilannya.
Hanya didedahkan sebagai Daniel yang bekerja dalam industri muzik,
dia memberitahu, kali pertama mengambil pil itu adalah pada berusia 20
tahun selepas diberi oleh rakan ketika mereka berada di luar negara.
Dia dan rakannya banyak minum dan mahu pulang ke hotel bersama beberapa gadis.
Oleh kerana takut tidak mampu mencapai prestasi dikehendaki, dia mengambil pil itu daripada rakannya.
“Kawan saya beritahu, saya ada benda ini, ambillah. Dia beritahu apa fungsi pil itu. Kami telan mengikut garis panduan dan ia berjaya,” kata Daniel.
Tak dapat kawal diri
Sejak itu, katanya, dia sering mengambil pil itu hingga ketagih menelannya setiap kali bersama pasangan wanita.
“Saya tidak ada masalah dari segi kemampuan seksual tetapi apabila anda tidak dapat mengawal diri ketika mabuk dan mengambil kira gaya hidup sendiri, anda akan selalu jumpa wanita yang mahu sesuatu daripada anda. Itulah yang perlu dipenuhi,” katanya.
Ketagihannya menyebabkan dia membelanjakan £1,000 (RM4,500) setahun untuk membeli pil biru itu.
Pada masa sama, Daniel mengakui mengalami kesan sampingan dan hanya kerisauan tidak dapat memberi kepuasan menyebabkan dia terus menelan Viagra.
“Apabila saya mengambilnya sekarang, saya dapat dengar denyutan jantung dan rasa seram sejuk. Saya juga dengar seperti sesuatu berdenyut dalam telinga, biasanya selepas saya menelan pil itu,” katanya.
Pakar perubatan, Robert Hicks, menekankan meskipun Viagra selamat digunakan dan sudah banyak menyelamatkan perkahwinan, mengambil sebarang ubat tanpa nasihat doktor ada risiko dan kesannya.
“Kehilangan pendengaran adalah satu kemungkinan kesan daripadanya meskipun ia jarang sekali berlaku. Apa yang benar iaitu ia selamat jika digunakan dengan betul,” kata Hicks.[b.harian]