Seorang pelakon wanita televisyen Korea Selatan, Lee Si-young
mencetuskan perdebatan dalam kalangan penduduk di negara ini kerana
pengadil memberikan kemenangan kepadanya pada satu perlawanan tinju
hanya disebabkan kecantikannya.
Pada bulan lalu, Si-young, 31, menewaskan Kim Da-som, 19, dengan kelebihan dua mata pada perlawanan tinju kategori 48 kilogram.
Aktres itu terjun ke dalam dunia tinju sebagai usaha untuk dipilih
bagi mewakili Korea Selatan pada Sukan Olimpik yang akan datang.
Dia sebelum ini pernah berlakon dalam siri drama Wild Romance dan Boys Before Flowers.Aktres itu mula menceburi dunia tinju sejak tahun 2010.
Kemenangan itu menyebabkan Persekutuan Tinju Amatur Korea Selatan
(KABF) dituduh memberikan layanan tidak adil kerana membenarkannya
menggunakan status selebriti untuk merangsang sokongan kepadanya.
Seorang pengulas politik dan peminat tinju, Byun Hee-jae berkata, perlawanan tinju itu berat sebelah kepada aktres tersebut.
"Negara ini menjadi gila kerana mereka yang cantik diberikan lebih
banyak mata dalam perlawanan tinju," katanya di laman Twitter.
Bagaimanapun, seorang pengurus kanan KABF, Choi Hee-kuk berkata,
rakaman video menunjukkan Da-som memperoleh mata yang kurang kerana
bilangan tumbukannya tidak banyak berbanding aktres tersebut."Muka Si-young kelihatan bersih, tidak mempunyai banyak luka atau bengkak," katanya.[kosmo]