Seorang model dari Korea Selatan yang ketagih pembedahan plastik,
bertindak menyuntik minyak masak ke wajahnya, mengakibatkan dia kini
tidak lagi dikenali oleh ibu bapanya sendiri.
Wajah Hang Mioku menjadi hodoh berikutan rawatan kecantikan yang
dijalaninya itu, sehingga kanak-kanak menggelarnya kipas berdiri
kerana saiz wajahnya yang besar berbanding tubuhnya yang kecil.
Wanita itu mula menjalani pembedahan plastik bagi menjadikan kulit
wajahnya kekal lembut ketika berusia 28 tahun dan kemudiannya dia
berpindah ke Jepun bagi memudahkannya menjalani rawatan itu dengan lebih
kerap.
Bagaimanapun, selepas dia ketagih dengan rawatan itu, doktor enggan
menjalankan pembedahan lagi ke atasnya selepas mendapati wajahnya mula
membesar.
Seorang daripada doktor yang ditemuinya menyatakan, ketagihan itu mungkin petanda Mioku mengalami gangguan psikologi.
Namun, Mioku selepas itu masih menyuntik silikon setelah berjaya
mendapatkan sebotol silikon dan setelah ia habis, dia mula menyuntik
wajahnya dengan minyak masak selepas terpengaruh dengan dakwaan minyak
masak dapat meningkatkan kesan penggunaan silikon.
Kisah sedih Mioku kemudiannya disiarkan dalam televisyen Korea dan
penonton yang simpati mendermakan beribu-ribu pound bagi membiayai
pembedahan merawat wajahnya.
Semasa Mioku menjalani pembedahan pertama daripada 10 rawatan itu,
doktor mengeluarkan 60 gram silikon, minyak dan bahan-bahan asing lain
dari wajahnya serta 200 gram lagi dari lehernya.
Bagaimanapun selepas pembedahan itu, wajah Mioku kekal cacat dan dia
berharap akan dapat mengembalikan wajahnya seperti sebelum ini.[utusan]